Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Antara sifat semulajadi manusia ialah mudah leka, terpedaya dan tunduk kepada keinginan hawa nafsunya sehingga menyebabkan mudah terjebak untuk melakukan perkara yang melanggar hukum Allah Subahanahu Wata'ala dan berbuat dosa samada dosa-dosa kecil atau besar, senghaja ataupun tidak. Sebagai umat Islam kita telah diajar dan dididik untuk sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dengan mentaati perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan menjauhi larangan-Nya.
Oleh itu kita hendaklah menanamkan di dalam diri sifat sentiasa takut untuk berbuat dosa kerana akibat dari melanggar perintah Allah Subahanahu Wata'ala seperti tidak bersembahyang, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi, berzina, melakukan rasuah, penipuan dan sebagainya, kita bukan sahaja mendapat dosa bahkan dibenci oleh Allah Subahanahu Wata'ala, hati menjadi gelap, ditutup pintu rezeki, doa tidak dimakbulkan dan lebih buruk lagi mendapat azab siksa diakhirat kelak sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Maryam ayat 70-72 tafsirnya:
"Kemudian sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut disiksa dan dibakar dengan api neraka itu. Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepada-Nya, yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya bertelut (berlutut) di dalam neraka"
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya azab dan kemurkaan Allah Subahanahu Wata'ala terhadap orang yang melakukan perbuatan dosa itu telah banyak diceritakan dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith secara jelas dan nyata. Akan tetapi masih ada juga di antara kita yang melakukan perbuatan munkar dan maksiat dengan senghaja bahkan lebih buruk lagi melakukannya secara terang-terangan. Persoalannya, apakah yang menyebabkan sebilangan orang masih berani untuk terus melakukan dosa sedangkan mereka tahu bahawa setiap perbuatan dosa yang dilakukan pasti ada balasannya. Ini mungkin kerana mereka belum menerima balasan akibat dari perbuatan dosa yang dilakukan, maka mereka terus lalai dan tidak takut untuk terus berbuat perbuatan yang berdosa.
Ingatlah saudara-saudara sekalian bahawa jika seseorang itu telah berbuat dosa dan tidak menerima balasannya di dunia ini, jangan fikir ia akan terlepas dari menerima pembalasan Allah Subahanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala Maha Mengetahui segala apa yang kita lakukan, sebagaimana firmannya dalam surah Maryam ayat 75 tafsirnya:
"Katakanlah wahai Muhammad, sesiapa yang berada di dalam kesesatan biarlah Allah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka samada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukkannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya"
Kita ambil contoh, orang yang melakukan rasuah, riba ataupun penipuan dalam berniaga, walaupun mereka mendapat keuntungan wang ringgit, hartanya bertambah, hidupnya mewah, perbuatannya tidak diketahui dan terlepas dari tindakan pihak berkuasa dan sebagainya, namun balasan akibat perbuatan dosanya tetap saja ada. Mungkin saja ia selamat di dunia tetapi ia tidak akan terlepas dari menerima pembalasan azab siksa neraka di akhirat kelak. Kita juga jangan lupa bahawa hasil pendapatan dari sumber yang haram juga boleh mengakibatkan dirinya, anak, isteri dan ahli keluarganya menderita kerana setiap suap dari sumber yang haram, maka api nerakalah balasannya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama persaudaraan, menyuruh kita saling bantu-membantu dan saling menasihati sesama kita kearah kebaikan supaya kita dapat menjalinkan kehidupan di dunia ini dengan aman, bahagia dan bersatu-padu. Islam juga telah mengajar kita untuk menegakkan amar makruf? nahi munkar iaitu menyuruh ke arah berbuat kebaikkan dan mencegah dari perbuatan munkar. Maka ke arah memelihara diri dari terus melakukan dosa, kita juga dituntut untuk memelihara keluarga, jiran, rakan dan masyarakat amnya dari melakukan sebarang perbuatan yang berdosa samada dengan memberi nasihat, teguran dan sebagainya.
Ketahuilah jika perbuatan munkar dan maksiat telah berleluasa di sebuah tempat, adalah tidak mustahil Allah Subahanahu Wata'ala akan menurunkan bala dan azab kepada mereka. Kita ambilah iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku kepada umat terdahulu yang hancur akibat perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan. Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang telah mendustakan kerasulan Nabi Lut Alaihi Salam serta mengamalkan perbuatan keji lagi terkutuk dengan mengadakan hubungan sejenis sesama lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat. Lalu Allah Subahanahu Wata'ala menurunkan bala yang membinasakan negeri itu dengan letusan suara yang mengemparkan bumi, lalu negeri itu ditunggangbalikan yakni tertimbus segala apa yang ada di muka buminya dan dihujani dengan batu dari tanah yang dibakar. Begitu juga dengan kisah Qarun yang lupa diri setelah dikurniakan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah sehingga menjadikannya orang yang sombong dan enggan mentaati perintah Allah Subahanahu Wata'ala untuk mengeluarkan zakat dari hartanya itu. Disebabkan keingkaran Qarun akhirnya dia mati dibenam kedalam bumi bersama-sama dengan harta kekayaannya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang muslim, kita hendaklah sentiasa berusaha memelihara diri dari melakukan dosa, antaranya ialah dengan sentiasa merasa diri kita diawasi oleh Allah Subahanahu Wata'ala yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Kita juga hendaklah sentiasa ingat akan nikmat yang telah Allah Subahanahu Wata'ala anugerahkan kepada kita seperti nikmat tubuh badan, nikmat sihat, nikmat hidup, nikmat rezeki dan sebagainya. Setelah kita menikmati semua anugerah itu, maka pikirkanlah, adakah wajar kita menjadi hambanya yang derhaka dan tidak tahu bersyukur? Selain itu kita juga hendaklah sentiasa ingat kepada kematian kerana kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, dan yang kekal abadi ialah kehidupan di akhirat kelak. Cuba fikirkan, apakah kita hanya mahukan kesenangan hidup di dunia tetapi hidup dalam kesengsaraan dan penyiksaan di neraka kelak? Sudah tentu semua orang mahukan kehidupan yang baik, aman dan bahagia di dunia dan di akhirat.
Oleh itu marilah kita berusaha untuk menjadikan hamba Allah yang dikasihinya dengan mentaati segala perintah dan menjauhi larangannya. Selain itu kita hendaklah sentiasa beristigfar dan berdoa kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala semoga kita sentiasa mendapat pengampunan, perlindungan, berkat dan rahmat daripadanya. Dan akhirnya negara kita juga selamat daripada azab dan bala bencana dan negara kita beroleh keamanan dan kesejarahteraan. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Zalzalah ayat 7-8 tafsirnya:
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)"
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan