ummusya

Selasa, 22 Jun 2010

FADILAT DAN KELEBIHAN ISTIGHFAR

khutbah jumaat (18-Jun-2010)
05hb Rejab 1431H

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kehidupan di dunia adalah persediaan dan jalan bagi kehidupan kita di akhirat nanti. Maka kita sebagai Muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala, amal ibadat adalah penentu bahagianya dan berjayanya kita di akhirat nanti. Dalam kita menempuh kehidupan di dunia ini kita tidak terlepas dari menghadapi dugaan, cabaran, ujian dan juga tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Melakukan dosa adalah perbuatan yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan Islam mewajibkan setiap orang yang berbuat dosa agar segera bertaubat sama ada ia melakukan dosa besar atau kecil.

Al-Quran dan As-Sunnah telah mengajarkan kita beberapa langkah yang dapat dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk membersihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa. Antaranya ialah menjauhkan diri daripada maksiat, berkawan dengan kawan yang baik-baik, melawan pujukan syaitan dan hawa nafsu, sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu, melakukan amal soleh, berdoa, sentiasa muhasabah diri dan membenyakkan istighfar.

Hakikat istighfar adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk memohon ampun atas segala dosa. Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya beristighfar sebagaimana firman-Nya dalam surah Al Mu'min ayat 55 tafsirnya :

"Dan pohonlah ampun bagi dosamu serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang".

Allah Subhanahu Wata'ala juga menganjurkan kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Muhammad ayat 19 tafsirnya :

"Dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan)".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya istighfar sangat dituntut oleh agama Islam. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi di samping untuk merebut fadilat istighfar.

Sememangnya banyak fadilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hamba-Nya akan tekun beristighfar. Adapun antara kelebihan istighfar dan taubat itu, Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi nikmat dengan kurnian-Nya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup, sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya :

"Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Allah Subhanahu Wata'ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali 'Imran ayat 135-136 tafsirnya :

"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya. Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak mengajar tentang doa-doa yang mengandungi lafaz istighfar yang bertujuan untuk mengharap keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, antaranya :

Pertama :?Astaghfirullah, Astaghfirullah maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah, Aku memohon ampun kepada Allah.

Kedua : Rabbana Faghfirlana Zunubana Wakaffir Anna Sayyihatina Watawaffana Mahal Abrar tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti yang banyak berbuat kebajikan.

Ketiga : Rabbana Zalamnaa Amfusana Wa'ilam Taghfirlana Watarhamna Lanakunanna Minal Khasirin tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi.

Keempat : Rabbanag firli Waliwaa lidaya Walil Mukminina Yauma Yakumul hisab tafsirnya : Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan hari pembalasan.

Kelima : Astaghfirullah hallazi Laa 'illaha illa Huwwal Hayyul Qayyumu Wa'atubu ilaih maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan kecuali Dia, Yang Tetap Hidup dan Kekal dan aku bertaubat kepada-Nya.

Manakala penghulu istighfar pula ialah yang maksudnya : Ya Allah engkau adalah Tuhanku tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu, aku tetap pada ikatan-Mu dan janji-Mu selagi aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya istighfar itu penting dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan apatah lagi dilupakan. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menjadikan istighfar sebagai amalan harian. Walaupun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mahsum (bebas daripada dosa), namun Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam tetap beristighfar setiap hari sebanyak seratus kali agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa, betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa. Oleh itu marilah kita menjadikan istighfar sebagai doa dan zikir sepanjang hari. Ini sesuai dengan azam dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam Negara zikir yang sentiasa mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mudah leka dan lalai dengan kehidupan di dunia ini. Marilah kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada-Nya serta berusaha menghindarkan diri dari berbuat perkara yang boleh mendatangkan dosa sama ada secara senghaja atau tidak dan mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala menerima taubat dan istighfar kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Nuh ayat 10-12 tafsirnya :

"Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia amat pengampun, kiranya kamu berbuat demikian, Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir di dalamnya".

Jumaat, 18 Jun 2010

CORETAN BUAT ANAKKU



Anakku…
Setiap pagi mama membangunkanmu dari tidur
Setiap pagi mama menyediakan sarapan untukmu
Setiap pagi mama menyediakan bekal untuk kau bawa ke sekolah
Setiap pagi mama mendengar bunyi tapak kakimu menuruni tangga
Setiap pagi kau bertanya "mama masak apa?"
Setiap pagi mama menghantarmu ke sekolah

Tapi kini...
Siapakah yang membangunkanmu dari tidur?
Siapakah yang menyediakan sarapan untukmu?
Siapakah yang menyediakan bekal untuk kau bawa ke sekolah?
Siapakah yang menghantarmu ke sekolah?

Tapi kini...
Tiada lagi mama dengar bunyi tapak kakimu menuruni tangga
Tiada lagi mama dengar kau bertanya "mama masak apa?"

Anakku...
Setiap tengahari mama menjemputmu pulang sekolah
Setiap tengahari kau akan makan masakan mama
Setiap tengahari mama akan menghantarmu ke sekolah agama

Tapi kini...
Siapakah yang menjemputmu pulang sekolah?
Masakan siapakah yang kau makan?
Siapakah yang menghantarmu ke sekolah agama?

Anakku...
Setiap petang mama menjemputmu pulang sekolah agama
Setiap petang kau ikut ke pejabat mama
Setiap petang kita singgah shopping di pasaraya
Setiap petang kita pulang ke rumah bersama

Tapi kini...
Siapakah yang menjemputmu pulang sekolah agama?
Siapakah yang menemanimu shopping di pasaraya?

Tapi kini...
Tiada lagi kau menemani mama di pejabat
Tiada lagi kau bermain game di komputer mama
Tiada lagi kau pulang ke rumah bersama mama

Anakku...
Setiap petang mama mengarahkanmu mandi
Setiap malam kau minta ajarkan cara berwudu'
Setiap malam kau ikut mama sembahyang fardu
Setiap malam mama menemanimu membuat kerja sekolah
Setiap malam kau berebut chanel tv dengan mama
Setiap malam kau minta mama membelai rambutmu
Setiap malam kau mengurut kaki mama

Tapi kini...
Siapakah yang mengarahkanmu mandi?
Siapakah yang mengajarmu berwudu'?
Siapakah yang kau ikuti sembahyang fardu?
Siapakah yang menemanimu membuat kerja sekolah?
Siapakah yang membelai rambutmu?

Tapi kini...
Adakah kau masih menonton tom & jerry?

Tapi kini...
Tiada lagi tangan montel yang mengurut kaki mama

Anakku...
Mama sering mengawal pemakananmu kerana kemontelanmu

Tapi kini...
Siapakah yang mengawal pemakananmu?

Anakku...
Kau tahu membuat pilihan di kala mama rambang mata nak beli yang mana satu
Kau sering memberi mama idea nak masak apa pada hari itu

Tapi kini...
Tiada lagi yang tahu membuat pilihan di kala mama nak beli sesuatu
Tiada lagi pencetus idea nak masak apa pada hari itu

Tetapi anakku...
Hakikatnya mama tidak perlu risau
Mama tidak perlu bertanya siapa? dan siapa?
Kerana mama yakin dan pasti kau dipelihara dan dijaga dengan sempurna oleh Nabi Ibrahim alaihissalam
Dan mama yakin dan pasti kau di bawah lindungan Allah subhanahu wataala
Tiada alasan untuk mama risau akan keadaan dirimu
Kerana Allah subhanahu wataala adalah sebaik-baik pelindung dan pemelihara

Tetapi anakku...
Hanya satu yang tidak mampu mama lenyapkan
Mama terlalu merinduimu
Mama sentiasa mengenangmu di setiap waktu
Tidak tertunggu rasanya saat kita bertemu di alam sana
Mama akan tetap sabar menunggu saat itu tiba
Tika itu nanti segala kerinduan mama akan terlerai jua
Kita akan bahagia bersama buat selamanya

Amin ya rabbal alamin...


Rabu, 16 Jun 2010

KHUTBAH JUMAAT BAGI SELURUH MASJID BRUNEI DARUSSALAM (HIDUP BERJIRAN)

jumaat (11-Jun-2010)
28hb Jamadilakhir 1431H

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak akan dapat hidup bersendirian kerana kita memerlukan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat seperti kehidupan berjiran. Berbuat baik dengan jiran merupakan suatu tuntutan yang sangat diambil berat oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda mengaitkan perkara tersebut dengan iman seseorang sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Cuba kita sama-sama renung dalam kehidupan kita sekarang, sejauh manakah semangat berjiran itu kita hayati dan amalkan? Apakah kita telah mengenali jiran kita? Sebagai seorang Muslim kita hendaklah menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga kerana jiran umpama saudara yang dekat dan berada di kedudukan yang paling mudah untuk memberi atau meminta bantuan. Bahkan dengan adanya kemesraan dan sikap saling pemedulian sesama jiran, kita akan dapat menikmati kehidupan bermasyarakat yang aman bahagia dan harmoni serta jauh dari persengketaan dan permusuhan.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebenarnya dalam menjaga hubungan yang baik dengan jiran tetangga, kita hendaklah mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama Islam dan dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Mengamalkan akhlak yang mulia itu merangkumi sikap bersopan santun dan berbudi bahasa seperti bertegur sapa dan bertanya khabar, menjaga perasaan, saling hormat-menghormati, berbaik sangka, membantunya ketika kesusahan, mengamalkan sikap saling tolong menolong, bersefahaman dan sebagainya.

Bagi mengekalkan hubungan yang baik kita janganlah sekali-kali menyakiti hati dan menyinggung perasaan mereka, baik dengan perkataan mahupun perbuatan dan tingkah laku. Oleh itu peliharalah diri kita dari bersifat dengki, pentingkan diri sendiri, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Apa yang penting juga kita hendaklah mengelak dari membuat sebarang perbuatan yang boleh menganggu ketenangan dan ketenteraman jiran seperti tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal, membuat bising lebih-lebih lagi waktu larut malam, tidak menjaga binatang peliharaan sehingga berkeliaran memasuki kawasan jiran apatah lagi sampai membuat kotor atau merosakkan tanaman atau harta benda jiran dan sebagainya. Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Abi Syuraih Radiallahu Anhu Baginda bersabda maksudnya :

"Demi Allah orang itu tidak beriman, demi Allah orang itu tidak beriman, demi Allah orang itu tidak beriman. Lalu seorang lelaki pun bertanya siapakah orang itu wahai Rasulullah? Baginda pun menjawab : Orang yang jirannya tidak merasa aman dari kejahatannya".

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang Muslim kita dituntut untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan, begitulah juga dalam kehidupan berjiran. Jika kita mengetahui kesusahan yang dihadapi oleh jiran, kita hendaklah menghulurkan bantuan. Bantuan yang dimaksudkan bukan sahaja terbatas kepada bantuan berbentuk wang dan material sahaja bahkan termasuklah juga kerjasama dan sokongan dari kita, contohnya meminjamkan kawasan rumah, membersihkan kawasan sekitarnya dan sebagainya ketika jiran mengadakan majlis kenduri dan begitu juga kita hendaklah memberikan bantuan dan sokongan kepada jiran jika mereka ditimpa musibah seperti kematian, kebakaran dan sebagainya. Amalan sebegini dapat memupuk sikap hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama jiran tetangga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma mengkhabarkan, sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara dengan orang Muslim yang lain, ia tidaklah boleh menganiayainya dan tidak boleh membiarkannya jatuh dalam kecelakaan. Dan barangsiapa yang memerlukan pertolongan kepada saudara muslimnya yang memerlukan pertolongan, maka Allah pasti akan memberikan pertolongan kepada orang yang menolong itu dalam perkara yang dihajatinya. Dan barangsiapa yang memberi kelonggaran kepada saudaranya itu dalam masa kesukaran, maka Allah pasti memberikan kelonggaran kepadanya dalam satu kesukaran dari kesukaran-kesukaran yang akan dialami olehnya nanti pada hari kiamat". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Ahli Jumaat yang berbahagia,

Agama Islam telah mengajar umatnya supaya mengamalkan Amar Makruf Nahi Munkar iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari perbuatan munkar. Oleh itu jika kita mendapati jiran melakukan perkara yang salah, berbuat maksiat dan kemunkaran, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai seorang Muslim dan seorang jiran yang bertanggungjawab seperti memberi teguran dan nasihat dan sebagainya.

Namun tidak dinafikan terdapat sebilangan orang yang sukar untuk menerima teguran atau nasihat dari orang lain. Oleh itu jika kita memberi teguran dan nasihat, biarlah dengan tutur kata yang lembut dan berhemat, mudah-mudahan orang yang ditegur itu dapat menerima nasihat itu dengan baik. Manakala sebagai orang yang ditegur pula hendaklah menerima sebarang teguran dengan hati yang terbuka dan fikiran yang positif kerana nasihat yang baik itu tidak lain semata-mata untuk kebaikan diri sendiri jua.

Sesungguhnya untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga itu tidaklah terlalu sukar, apa yang penting kita hendaklah bersifat sabar, pemaaf dan mengamalkan budi pekerti yang mulia. Jika semua ini diamalkan dalam kehidupan berjiran, insya' Allah kita akan dapat mengecapi nikmat kehidupan yang aman tenteram, bahagia dan bersatu padu.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisaa' ayat 36 tafsirnya :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua : Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabur dan membangga-banggakan diri".

khutbah jumaat

jumaat (04-Jun-2010)
21hb Jamadilakhir 1431H

AMALKAN CARA HIDUP SIHAT

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala diatas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat menikmati kurniaan Allah itu dan dapat mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat.

Islam menghendaki umatnya sihat dan selamat di dalam semua hal, sihat dan selamat pada jiwa, sihat dan selamat tubuh badan, sihat dan selamat akal fikiran dan juga harta benda. Kesihatan adalah antara faktor ke arah menjadikan diri masyarakat dan umat itu kuat. Umat yang kuat itulah yang diharapkan oleh agama Islam, sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala berbanding seorang mukmin yang lemah". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Apabila kita ditimpa penyakit kita hendaklah berusaha untuk berubat, bukan membiarkannya atau berserah kepada takdir semata-mata. Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan kemudahan bagi orang ramai untuk berubat dengan menyediakan pusat dan klinik kesihatan serta hospital di seluruh negara.

Kita juga sepatutnya berterima kasih kepada para doktor serta jururawat yang sentiasa sedia berkhidmat memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya tugas mereka ini sangat murni dan dipandang mulia. Kita sebagai masyarakat yang memerlukan dan menggunakan khidmat mereka, hendaklah sentiasa memberi sokongan dan dokongan terhadap setiap khidmat dan nasihat yang mereka berikan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagaimana yang kita maklum, tema Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa pada 12 Mei yang lalu ialah 'Penyumbangan berkualiti, berkihidmat pada masyarakat : Jururawat memimpin penjagaan kronik'. Sememangnya penyakit-penyakit kronik telah menjadi penyakit utama global yang dihadapi oleh dunia sekarang. Penyakit ini menjadi tembok penghalang dari perkembangan dan kemajuan. Penyakit-penyakit kronik adalah keadaan penyakit yang memakan masa yang panjang dan yang datang berulang-ulang.

Perlu kita sedari, jika kita semua menjaga kesihatan, insya' Allah kita akan terhindar dari penyakit-penyakit kronik. Selain itu kita juga dapat menjimatkan wang kerajaan kerana kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit-penyakit kronik adalah sangat tinggi. Bagi tahun 2008, pihak kerajaan telah membelanjakan 20.7 juta ringgit iaitu kira-kira 51 peratus dari keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan bagi penyakit-penyakit kronik khususnya penyakit jantung, kanser dan kencing manis. Jumlah ini tidak termasuk perbelanjaan rawatan lain seperti kos rawatan hospital, kos rawatan intensif, kos pembedahan, kos rawatan rujohan dan kos penghantaran pesakit ke luar negara.

Oleh yang demikian, dalam usaha menjaga kesihatan ini, marilah kita mengambil langkah-langkah awal penjagaan kesihatan seperti menjaga kesihatan dengan nasihat doktor atau pakar permakanan iaitu dengan bersenam, menjaga waktu makan, kualiti dan kuantiti makanan, mengurangkan makanan yang berminyak dan berlemak, mengurangkan garam dan gula dalam makanan, membanyakkan minum air serta membanyakkan makan buah-buahan yang segar. Di samping itu, kita hendaklah mempastikan makanan yang dimakan adalah makanan yang baik dan halal. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 128 tafsirnya :

"Wahai manusia! Makanlah makanan dari apa yang ada di bumi yang halal kagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu".

Ajaran Islam telah memberikan peringatan kepada umatnya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada akal dan tubuh badan dan Islam juga mengharamkan semua makanan dan minuman yang boleh membinasakan dan membahayakan diri seperti arak, babi, penyalahgunaan dadah, rokok dan sebagainya.

Sememangnya rokok atau penggunaan tembakau adalah salah satu penyebab beberapa jenis penyakit kronik seperti kanser, paru-paru, jantung dan sebagainya. Kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan tembakau adalah penyebab kematian bagi empat juta orang di dunia pada setiap tahun. Ini bermakna pada setiap sepuluh saat, satu kematian akibat penggunaan? tembakau berlaku. Malangnya, sungguhpun bahaya tembakau telah diketahui oleh masyarakat, namun penggunaan masih juga digunakan di mana-mana.

Maka mengambil kira terhadap bahaya dan kemudaratan tembakau, beberapa buah negara di dunia termasuk Negara Brunei Darussalam telah mempunyai undang-undang yang mengawal pembekalan, penjualan, penggunaan dan pengiklanan produk tembakau. Di Negara Brunei Darussalam, perintah tembakau 2005 meliputi larangan penggunaan produk tembakau atau merokok di tempat-tempat awam. Ini adalah bertujuan untuk melindungi orang awam lain yang sedang berada di tempat tersebut daripada terdedah kepada asap rokok, selain daripada memastikan persekitaran udara yang bersih dan nyaman untuk semua. Sebagaimana yang diperuntukkan di dalam perintah tembakau 2005 dan peraturannya, sesiapa yang sabit kesalahan merokok di tempat-tempat awam boleh didenda tidak lebih dari seribu ringgit. Di antara tempat-tempat awam yang dimaksudkan adalah seperti bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis pejabat termasuk pejabat swasta, pusat-pusat membeli belah, restoran-restoran dan kedai-kedai makan, kaki-kaki lima kedai, hospital-hospital, sekolah-sekolah, stesen-stesen dan perhentian-perhentian bas serta pasar-pasar dan tamu-tamu.

Sejak tahun 1994 lagi, pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri telah mengisytiharkan semua bangunan kementerian dan jabatan kerajaan sebagai tempat ditegah merokok. Perkara ini telah berulang kali ditekankan di dalam beberapa surat-surat keliling Jabatan Perdana Menteri. Dalam hubungan ini, Kementerian Kesihatan telah mengadakan satu kaji selidik pada penghujung tahun 2009 untuk menilai langkah-langkah pencegahan merokok di bangunan-bangunan kerajaan. Daripada empat puluh satu buah bangunan kerajaan yang dilawati, empat belas buah bangunan tidak mempamerkan sebarang notis larangan merokok. Lebih mendukacitakan lagi, puntung-puntung rokok telah ditemui di tiga puluh lapan buah bangunan kerajaan yang dilawati. Malahan terdapat bangunan-bangunan kerajaan yang menyediakan tempat-tempat khas bagi perokok dengan menyediakan tempat-tempat duduk yang selesa dan tempat pembuangan puntung rokok yang khusus.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk mengawal penjualan rokok dan produk tembakau di negara ini. Dengan cara ini, penjualan rokok oleh peniaga-peniaga yang berlesen akan sentiasa dipantau dan setiap produk tembakau yang dijual adalah dikehendaki mempunyai tanda amaran kesihatan yang sah. Dalam perkara ini, sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok atau produk tembakau tanpa lesen yang sah boleh didenda sehingga sepuluh ribu ringgit. Begitu juga, sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok dan produk tembakau yang tidak mempunyai amaran kesihatan yang sah boleh didenda sehingga dua puluh ribu ringgit dan dijatuhkan hukuman penjara.

Demikian juga, denda maksima sepuluh ribu ringgit akan dikenakan kepada sesiapa yang sabit kesalahan menjual rokok atau produk tembakau kepada orang-orang yang berumur di bawah lapan belas tahun. Tindakan ini adalah tepat kerana golongan remaja dan kanak-kanak pada masa ini adalah generasi yang akan menyambung usaha kita membangunkan dan memajukan negara kita ini. Alangkah malangnya jika mereka ini terdedah kepada tabiat yang memudaratkan nyawa dan kesejahteraan mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Industri tembakau sebenarnya menyedari akan kemudaratan rokok dan produk tembakau. Namun begitu, untuk memastikan keuntungan mereka berterusan dan perniagaan mereka tidak rugi, mereka sekarang semakin bijak menarik minat perokok-perokok untuk terus merokok. Terdapat alat-alat baru dan canggih yang mengaburi mata para pengguna dengan dakwaan-dakwaan kononnya produk tersebut lebih baik dari segi kesihatan. Salah satu alat yang dimaksudkan ini ialah rokok elektronik atau 'Electronic Cigarette'. Orang ramai adalah diingatkan untuk berhati-hati mengenai penggunaan rokok elektronik ini. Penjualan alat ini di Negara Brunei Darussalam adalah salah dibawah seksyen enam perintah tembakau 2005 larangan ke atas penjualan produk tembakau tiruan. Sesiapa yang sabit kesalahan membawa masuk, menjual atau menawarkan untuk jualan sebarang produk yang menyerupai suatu produk tembakau boleh didenda sehingga sepuluh ribu ringgit.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika sesuatu itu sabit mendatangkan mudarat maka hendaklah ia ditinggalkan, demikian juga dalam perkara penggunaan tembakau seperti rokok, syisya dan seumpamanya, hendaklah kita jauhi dan tinggalkan. Ingatlah bahawa bahaya menggunakan tembakau bukan sedikit tetapi boleh membawa maut, bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan juga orang lain. Marilah kita sama-sama menjadikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang lalu sebagai renungan dan ingatan akan gejala tabiat buruk merokok dan yang seumpamanya dan sama-samalah kita mengambil langkah yang wajar bagi membenterasnya. Kita berdoa semoga usaha kita diberkati Allah Subhanahu Wata'ala serta kehidupan kita bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata?ala dalam surah Al A'raaf ayat 157 tafsirnya :

"....Dan Dia-lah menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan keatas mereka segala yang buruk....".

E-MEL (PALESTIN)

Semalam Razali Awang, pemberita TV3 yg pergi ke Gaza baru-baru ni, datang ke my company tu share his experience. Persatuan Islam Pekerja yg anjurkan. Razali ni tiap kali dia bercerita, mesti tersekat2 sebab dia kata dia tak dpt lupakan pengalaman yg dia akan kenang smpai mati. I ada things yg nak share yg buat I tak boleh tido mlm tadi:

Mesir
Razali kata ni Firaun modern. Nama je Islam tapi dah very secular. Sanggup kencing di dinding2 masjid. Mesir sekat sempadan ..the only way ke Gaza . Makanan dan ubatan2 sume rosak kat sempadan Mesir-Gaza. Sempadan Gaza and Mesir is 14 km long. Kalau lah tak de sekatan, rakyat Palestine takkan kebuluran... "Mesir lebih rela bersempadan dgn Israel drp bersempadan dengan Hamas!" – Apa punya manusia ni, kata Razali Awang.
Khutbah Jumaat di Mesir mengharamkan khutbah mengenai keganasan di Gaza . Razali btau rakyat Palestin yg dia interview, kat Malaysia tiap Jumaat kami bacakan Qunut Nazilah dan bersolat hajat demi kesejahteraan rakyat Palestine … Berapa banyak checkpoint dia kena lalui kat Mesir…tapi dgn pertolongan Allah SWT lepas pulak..tapi perit nya..yg mintak rasuah…charge naik bas 500 meter is RM70!!! Memang sekutu kuat Amerika and Israel . (Eee…tak ingin hantar anak gi Al Azhar..lebih baik hantar ke negara Islam lain..UIA pun dah bagus!!!)

Gaza ( Palestine )
Terbahagi kepada 2 – Hamas dan Fatah…Belah Fatah ada kasino! Kata wartawan dari Belgium dan Itali, the best strawberry in the world comes from Gaza !
Imam Shafie lahir di sini (sebak pulak bila dengar yg ni). Razali kata rakyat Palestine sgt berpegang teguh kpd ajaran Islam dan mazhab Shafie.
Org Palestine sgt baik dan friendly as compared to other Arabs esp yg kat Mesir tu.. Moyang Rasulullah SAW dikebumikan dia sini (lupa nama ..tapi dia mention Hashim….) Beautiful country, iklim Mediterranean .boleh kalahkan Los Angeles kalau tak kerana peperangan..

Hamas
Memang kalangan yg rela mati sebab mati syahid. Rela mati anytime. Bila bersalam perpisahan dengan Razali dia org ucap "Kalau anda dtg lagi ke sini, adakah kita akan bertemu lagi"…like they know they can die anytime.
Tulang2 yg melekat kat dinding bangungan rosak, tak busuk walau dah berminggu! Mayat tak reput langsung, bila kubur dibedil oleh Israel …punyalah jahat manusia, kubur pun nak bedil konon tempat simpan senjata.
Hamas ada 25,000 org...tak de senjata canggih tapi yg mati hanya 100 lebih je!! Hamas ni beroperasi di bawah tanah and they are everywhere. They operate in small groups.
Isteri kepada yg mati syahid, hanya ada satu misi, utk berperang dan mati syahid supaya dapat jumpa suami semula di syurga.. Bagi mereka, kanak2 yg mati berada di sisi Allah SWT. Menurut seorang ibu yg anak nya mati syahid, hari ni sorang mati, esok lahir lagi seorang bayi..

Israel
Memang pengecut sebab tak berani perang one to one ngan Hamas. Kat darat hanya duduk dlm kereta kebal. Pastu serang ngan bom pintar, bom fosforus dari jarak jauh. Dia org tau Hamas ada penembak tepat! So, depa takut nak turun dari kereta kebal.

Kereta kebal Israel musnahkan tanaman seperti anggur dan pokok zaitun sebab tanaman ni makan masa bertahun nak tumbuh balik. Biar rakyat Palestine kebulur dan tak de sumber pendapatan. Semua resolusi PBB, satu pun Israel tak ikut!!! Ada back-up besar lah katakannn...

Rakyat Palestine
Sedih Razali tengok dia org rebus rumput sebab dah tak de makanan. Kanak2 tiada cita-cita lain selain dari ingin menjadi pengebom berani mati kerana trauma melihat ahli keluarga dibunuh di depan mata sendiri!
Di hospital, pembedahan, jahit kulit ke apa ke…terpaksa dibuat tanpa bius. Sebab ubat dah tak de. Razali kata tak tahan dia tengok budak2 menjerit2 kesakitan bila kepala di jahit!

Dia jugak pergi sendiri ke dewan bedah yg telah dibedil dgn bom fosforus ..sebelum serangan ada few doctors sedang bedah pesakit….Razali kata tak de apa yg tinggal ..semua dah jadi abu!!! Ada la nampak serpihan tulang sikit2 here and there…Fosforus ni dia hancurkan kulit dan tulang…Nauzubillah. Ada banyak lagi..but too long to write. Razali Awang memang volunteer nak pergi ke Gaza ...So, inilah yg diceritakan oleh beliau.

Satu lagi antara pembekal rifle ke Israel selain dari USA is negara jiran kita ni ha...yg paling dekat...SINGAPURA! So Razali kata kalau kita shopping kat sana mcm kita sokong Israel .
So friends, kita terus doa dan berdoa utk keselamatan saudara Islam kita di mana jua mereka berada..
Wasalam.
























































Selasa, 1 Jun 2010

khutbah jumaat

jumaat (28-May-2010)
14hb Jamadilakhir 1431H

ULANGTAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI (ABDB)KE 49 TAHUN

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang mencintai keamanan dan kedamaian yang merupakan antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala yang amat berharga. Dengan keamanan, agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dinikmati bersama. Justeru itu, kita hendaklah mensyukuri nikmat keamanan yang kita kecapi di negara ini kerana sebagaimana yang diketahui bahawa negara yang dilanda peperangan, persengketaan dan perpecahan, kehidupan rakyat negara berkenaan terdedah kepada bahaya dan sentiasa berada dalam ketakutan dan penderitaan.

Kerana itulah negara sentiasa berusaha keras untuk mengekalkan keamanan negara masing-masing antaranya membuat hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran dan antarabangsa serta menubuhkan pasukan pertahanan bagi mempertahankan negara dari sebarang ancaman dan pencerobohan pihak musuh. Maka dengan tujuan yang sama, negara kita juga menubuhkan pasukan tentera iaitu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi menjaga dan mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

Menjaga keamanan itu adalah tugas dan tanggungjawab yang sangat besar yang memerlukan komitmen dan pengorbanan dari setiap anggota tentera yang berkhidmat. Kita patut berbangga dan bersyukur kerana ramai anak bangsa kita sendiri yang menyertai pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk berkhidmat kepada raja, agama, bangsa dan negara supaya kita terus menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anggota tentera di negara kita juga memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang ketenteraan serta dilengkapi dengan peralatan yang canggih dan moden.

Namun perlu kita sama-sama ketahui bahawa kesemua itu belumlah cukup untuk menjamin kekuatan pertahanan sesebuah negara. Kerana sejarah silam telah membuktikan bahawa kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukanlah terletak kepada keramaian tentera dan kelengkapan peralatan perangnya tetapi berpunca dari kekuatan iman. Iman itulah yang akan membuahkan keikhlasan dan kesabaran, keberanian dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada ketua, mempunyai semangat yang kental dan rela berkorban serta tidak gentar dan tidak takut mati dalam perjuangan yang ditempuhi.

Percayalah bahawa dengan adanya kekuatan iman yang ada dalam diri setiap anggota tentera, maka insya Allah akan melahirkan tentera yang kuat sebagaimana kekuatan tentera pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dapat dijadikan iktibar dan dapat dicontohi dalam menjalankan tugas sebagai anggota angkatan bersenjata. Sebagaimana yang berlaku ketika perang Badar dimana anggota tentera Islam yang bilangannya lebih kecil yang hanya 313 orang berbanding dengan bilangan tentera Musyrikin Mekah yang seramai 1000 orang dengan kelengkapan yang mencukupi. Tetapi dengan keimanan yang? kuat, keikhlasan dalam berjihad dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala, berzikir dan bersatu hati dalam mempertahankan agama, akhirnya tentera Islam dapat mengalahkan tentera Musyrikin dalam peperangan Badar tersebut.

Manakala dalam perperangan Hunain pula, pada ketika itu buat pertama kalinya orang Islam mempunyai pasukan tentera yang besar dari tentera pihak musuh sehingga ramai dari kalangan mereka yakin bahawa mereka akan beroleh kemenangan. Apabila tentera Muslim yang besar itu tiba di lembah Hunain, pihak musuh tiba-tiba menyerang mereka dengan hujanan anak panah. Serangan yang tidak diduga itu telah memecah barisan pertahanan orang Islam dan ramai dari mereka berundur dan lari meninggalkan barisan pertahanan sehingga menjadi tidak teratur dan kucar kacir kerana panik dan terkejut. Peristiwa tersebut telah disebutkan dalam Al-Quran surah At Taubah ayat 25 tafsirnya :

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan semasa kamu merasa bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri".

Namun dalam keadaan tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetap tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut atau gentar. Baginda memanggil para tentera untuk segera bersatu dan berkumpul. Akhirnya semangat kepahlawanan kembali semula dalam diri masing-masing lalu mereka menyerang musuh dengan semangat yang berkobar-kobar dan seterusnya tentera Islam mencapai kemenangan dengan izin Allah Subhanahu Wata?ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At Taubah ayat 26 tafsirnya :

"Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta Ia menyiksa orang-orang kafir itu dengan kekalahan yang membawa kehancuran dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir".

Dari tafsiran ayat itu tadi ada menyebut bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menolong Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang yang beriman sehingga akhirnya tentera Muslimin beroleh kemenangan. Dalam kisah ini dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran yang sangat besar faedahnya kepada kita semua, antaranya ialah jumlah tentera yang ramai tidaklah menjamin bahawa kita telah memiliki pertahanan yang kuat atau pun boleh membawa kemenangan dalam pertarungan tetapi apa yang lebih penting ialah iman yang kuat dalam setiap anggota tentera. Kerana adanya imanlah juga yang menyebabkan mereka menyahut panggilan Rasulullah untuk bersatu kembali dan terus berjuang walaupun pada mulanya mereka lari meninggalkan pasukan kerana gentar akibat serangan musuh yang secara tiba-tiba. Jikalau tiada iman, sudah tentu mereka akan terus lari menyelamatkan diri dari terus berjuang kerana takut dibunuh atau ditawan oleh pihak tentera musuh lebih-lebih lagi pada ketika itu tentera Islam seolah-olah hampir mengalami kekalahan.

Begitulah juga, dengan keimanan yang tetap mereka taat mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ketua pasukan tentera. Inilah kunci kejayaan dalam sebuah pasukan anggota tentera kerana sebarang bantahan dan perbuatan khianat hanya akan mengakibatkan sesebuah pasukan itu berpecah dan hancur. Sebagai umat Islam kita dikehendaki untuk mentaati pemimpin termasuklah yang memimpin dalam medan peperangan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An Nisaa' ayat 59 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan Ulil Amri iaitu orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu".

Maka adalah menjadi tanggungjawab anggota tentera mematuhi arahan dan perintah ketua mereka samalah apa yang diperintah tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam kerana sebarang persengketaan dan pepecahan hanya akan menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sememangnya perjuangan dalam mempertahankan negara bukan hanya pada anggota tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang sanggup berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negaranya. Oleh itu perasaan cinta kepada agama, raja, bangsa dan tanahair perlu disemai. Kita perlu sedar bahawa musuh yang sebenarnya bukanlah sekadar musush yang beradu kekuatan dengan kita, akan tetapi musuh yang sebenar ialah hawa nafsu yang mendorong kepada kemungkaran yang cuba menggugat kesejahteraan, keharmonian, mengancam kesucian agama dan merosakkan budaya seperti penyalahgunaan dadah, judi, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi gejala-gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan moral. Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita seharusnya memerangi gejala ini daripada terus merebak meracuni pemikiran bangsa kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada di kalangan anggota tentera yang berkorban semasa menjalankan tugas. Bagi mengenang jasa-jasa mereka, sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta tergolong di kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya, dalam kita memperingati Ulangtahun Angkatan Bersenjata ini, setiap anggota tentera hendaklah sentiasa mempertingkatkan keimanan dan kekuatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam menjalankan tugas dan menanai tanggungjawab untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara. Mudah-mudahan agama, raja, bangsa dan negara kita akan terpelihara dan selamat serta mendapat inayah (pertolongan) dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 200 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersiap sedialah dengan kekuatan pertahanan di sempadan negeri kamu serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan".

HARI JADI AHLI LUJNAH SETERUSNYA

Happy birthday to adik Hanafi......

ummusya hadiahkan cheese cake dengan tema bolasepak, sebab adik Hanafi gila bola selain gila memancing ikan dan seorang yang gila2. sorry... deko keknya tak smart, akak belum pro lagi dalam bab mendeko kek.


siap saja lujnah, terus potong kek, jangan buang masa, kan balik ni....


birthday boy posing dengan salah dua orang / segelintir dari ahli lujnah. hidangan lujnah kali ini kami order satay dan nasi impit serta kuih dan buah. bday boy bawa puding caramel.

di sini ummusya kongsikan resepi cheese cake. selamat mencuba


KEK CHEESE



7 biji kuning telur
6 biji putih telur
100g tepung plain
150g gula
½ cawan mentega cair
1 sudu makan ovellate
1 sudu makan baking powder
¼ cawan susu cair
½ tin susu manis
1 kotak Philadelphia
1 kotak craft cheddars atau blueberry filling

Cara2:
Telur, gula, ovellate dipukul hingga putih dan kembang. Masukkan tepung dan baking powder – pukul lagi. Masukkan susu cair dan akhir sekali masukkan mentega cair pukul hingga sebati. Bakar selama 15 – 20 minit dengan kepanasan 200 darjah selsius. Sementara menunggu kek masak, putar Philadelphia dan susu manis hingga sebati. Setelah kek masak sapukan krim Philadelphia dan taburkan cheese parut (craft cheddar) atau sapu blueberry filling.