ummusya

Isnin, 20 September 2010

HASIL DARI KEBUN

tak rugi kita berbudi pada tanah, insya Allah akan mendatangkan hasil. inilah antara hasil dari kebun di tepi jalan, pisang kapas. setandan pisang kapas boleh dapat 2 bisen penuh.

alhamdulillah... ampit jua jiran-jiran, saudara mara dan kawan-kawan di pejabat. pencuri pun ampit, hehe... alkisah, pada bulan ramadan yang lalu, setandan pisang kapas yang masih berada di pokok telah hilang dicuri. tapi tak apalah, kira sedekah saja arahnya, kesian jua, tais liurnya meliat pisang atu.

ADAB MENGUNDANG DAN MENERIMA JEMPUTAN

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang mencintai keharmonian dan keamanan, kerana itulah Islam mengambil berat tentang hubungan baik antara sesama manusia khususnya dalam mengeratkan hubungan silaturrahim, baik sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai mahupun masyarakat global. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiaallahu Anha, Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturrahim". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Dalam usaha mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan itu, agama Islam telah menunjukkan jalan atau amalan yang patut dilakukan bagi mencapai tujuan yang dihasratkan itu, antaranya mengundang atau menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai ke majlis atau kenduri yang diadakan. Amalan mengundang dan memenuhi undangan itu adalah sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, bahkan baginda mengalakkan para sahabat untuk mengadakan dan menghadiri kenduri. Amalan inilah yang menjadi tradisi orang-orang kita Brunei, menjemput atau mengundang saudara mara, jiran dan kawan-kawan untuk menghadiri majlis yang diadakan, baik secara formal atau tidak, seperti majlis perkahwinan, majlis rumah terbuka sempena hari raya, majlis membaca doa selamat, bertahlil dan membaca doa arwah, majlis akikah dan sebagainya.

Bagi orang-orang yang hendak menjemput dan menerima jemputan, maka perlulah mengetahui bahawa agama Islam ada memberikan panduan dan adab-adab yang perlu diikuti oleh mereka, antara adab-adab itu ialah orang yang mengundang itu hendaklah tidak membezakan kedudukan mereka yang diundang samada golongan kaya atau golongan miskin. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam ada menyatakan dalam sabda baginda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang-orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang miskin" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Sementara itu, niat menjemput pula hendaklah semata-mata untuk merapatkan hubungan silaturrahim, bukan untuk lain-lainnya seperti hendak berbangga-bangga dan bermegah-megah, dan hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar untuk menerima undangan, begitu juga orang yang diketahui kehadirannya akan merosakkan dan menghuru-harakan majlis yang diadakan.

Ahli jemaah yang berbahagia,
Manakala adab bagi orang yang menerima undangan pula ada lima iaitu:

Pertama: Tidak membezakan undangan, baik undangan tersebut datangnya daripada orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam.

Kedua: Tidak menolak sesuatu undangan hanya disebabkan alasan jauh.

Ketiga: Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya. Jika ia hanya berpuasa sunat, ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah. Tetapi jika ia berpuasa wajib seperti puasa qada?, maka tidaklah boleh ia berbuka.

Keempat: Menolak undangan jika diketahuinya makanan yang dihidangkan dari barang yang syubahat dan haram, ataupun dimajlis itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran seperti hiburan yang diharamkan oleh syarak, ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik atau suka bermegah dan membesar diri.

Kelima: Janganlah hendaknya menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak parut, bahkan hendaklah ia memperbanyakkan niatnya dengan tujuan baik seperti mengikut sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kita menghormati tetamu, setentunya kita tidak akan lupa memberikannya hidangan atau jamuan walaupun secara ala kadar sahaja. Itulah peribahasa yang kita lakukan sebagai penghormatan. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha, Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Amalan memberikan jamuan ini jua da adab-adabnya antaranya ialah menyegerakan untuk menikmati hidangan jika jemputan telah ramai dan tetamu yang belum hadir hanya sedikit sedangkan waktu yang telah ditetapkan telah berlalu.

Makanan yang dihidangkan pula hendaklah sekadar mencukupi, jangan sampai membazir, kerana perbuatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai ria', dan jangan pula sampai tidak mencukup kerana ia merupakan perbuatan kurang sopan, hidangan yang dihidang janganlah diangkat atau dikemas melainkan setelah semua jemputan selesai makan.

Ahli jemaah yang diberkati Allah,
Bagi orang yang hadir menerima undangan adalah dilarang memilih tempat duduk seperti duduk ditempat yang ditetapkan oleh tuan rumah untuk orang yang tertentu, tetapi hendaklah merendah diri dan duduk di tempat yang disediakan dengan memberi salam serta bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya, kerana dengan itu kemesraan boleh terjalin. Jangan duduk terlalu lama sedangkan majlis telah selesai, dan jangan pula bersegera hendak pulang sehingga tuan rumah tergesa-gesa untuk menghidangkan jamuan.

Apabila telah dijamu untuk makan, hendaklah mendahulukan orang yang lebih utama serta orang-orang tua. Dan apabila mengambil makanan hendaklah mengikut giliran dan janganlah mengambil terlalu lama sehingga orang lain tertunggu-tunggu. Dan apabila makan hendaklah bersederhana tidak berlebihan sehingga tidak mencukupi untuk orang lain, amalkanlah sifat berampit-ampitan, disamping itu janganlah menyebut atau melakukan sesuatu yang boleh menjijikan orang lain sehingga menyebabkan orang lain tidak ada selera untuk makan.

Sebagaimana kebiasaan orang kita Brunei terutama di majlis perkahwinan, bertahlil dan membaca doa arwah, apabila selesai sahaja majlis, jika hidangan berlebihan tuan rumah akan mengizinkan dan menyuruh tetamu mereka membawa balik lebihan itu. Amalan tersebut adalah amalan yang sangat mulia dan baik, di mana tuan rumah akan mendapat pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala di atas sedekah tersebut apatah lagi perbuatan itu boleh mengalakkan daripada berlakunya pembaziran, tetapi apa yang perlu diingat wahai kaum muslimin ialah memastikan makanan itu benar-benar lebih dan semua orang telah makan dan tuan rumah telah memberi izin kepada kita untuk membawa balik makanan yang lebih itu.

Ahli jemaah sekalian,
Ketahuilah bahawa adab-adab atau cara yang diajarkan dalam Islam mempunyai kelebihannya dan kebaikan jika dihayati dan diamalkan. Disitulah menunjukkan Islam itu agama yang lengkap meliputi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah kita sama-sama saling ingat mengingati, nasihat menasihati dan mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Mudah-mudahan cara baik yang kita praktikan dan amalkan itu akan menjadikan majlis yang diadakan diberkati Allah Subhanahu Wata'ala, dan hubungan silaturrahim menjadi lebih erat dan kuat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 172 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya".

KHUTBAH AIDILFITRI YANG KEDUA

Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
SEMPENA kita menyambut hari besar AidilFitri ini sudah tentu kita merasa bahagia dan merasa puas hati dengan persediaan yang telah disediakan awal. Tetapi hendaklah kita ingat, semuanya itu adalah nikmat kurnia Allah, bukannya sahaja ia datang melompok dihadapan kita. Kalau bukan kerana Allah maka tidak akan ada sesuatu yang kita inginkan. Oleh sebab itu hendaklah kita bersyukur, mengucap terima kasih kepada Allah di atas nikmat dan kurnia yang banyak itu. Nikmat Allah Ta?ala itu sangat banyak dari masa kita lahir ke dunia sampailah kepada masa kita berada dalam liang tanah. Oleh sebab terlalu suka menerima nikmat kurnia Allah itu sebahagian daripada kita lupa diri bersifat kedekut dan kikir umpamanya takut bersedekah, tidak mahu mengeluarkan hak zakat harta atau zakat fitrah, takut berkongsi kesenangan dengan orang lain. Ajaran Islam tidak begitu. Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Jal ayat 71 berfirman tafsirnya:

"Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakannya, dalam pada itu orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka (yang mendapat kelebihan harta itu) tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?".

Maka oleh sebab itu diperintahkan kepada umat Islam mencari jalan-jalan yang boleh mengurangkan sifat tamak haloba itu dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah, supaya dengan demikian keadaan masyarakat Islam menjadi seimbang, orang yang tidak berupaya diberi sebahagian daripada kelebihan orang-orang yang berada, maka bertautlah perasaan kasih sayang, perasaan harmoni dan hormat menghormati, dan timbulah kesatuan dan kekuatan umat, sebaliknya kalau orang yang mempunyai kelebihan itu dengan sebab tetap bersikap tidak pedulikan orang lain maka akan menimbulkan perbezaan di antara anggota masyarakat umat Islam tidak dapat bersatu padu kerana adanya perbezaan kelas ? seperti yang dalam sejarah negara barat daripada zaman pertengahan dahulu telah menyebabkan timbulnya revolusi di antara golongan kaya dan miskin, dan akhirnya terjadi pepecahan, timbul rasa benci membenci malah sampai kepada bunuh membunuh di antara satu sama lain. Rahmat Islam dalam isu zakat dan sedekah sangat menolong memperkuat hubungan saudara mara, sabda Nabi Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Daripada Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma: Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Orang muslim itu adalah bersaudara dengan orang muslim yang lain, ia tidaklah boleh menganianya, dan tidak boleh membayarkannya jatuh dalam kecelakaan. Barangsiapa yang menolong seorang menghilangkan kesusahan dari apa jua kesusahan dunia maka Allah akan menolong dia menghilangkan kesusahan dari apa-apa jua kesusahan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang melapangkan keatas seorang yang susah di dunia maka Allah akan melapangkan dia di dunia dan di akhirat. Dan barangsiapa yang menutupi (pakaian) seorang muslim di dunia maka Allah akan menutupi dia di dunia dan di akhirat. Allah sendiri akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya".

Kita janganlah takut akan mengeluarkan zakat atau bersedekah dengan anggapan harta akan berkurang, tidak! Allah menjamin orang yang berzakat dan bersedekah itu akan sentiasa dilebihkan harta mereka lagi oleh Allah dan malah ditambah pula dengan pahala yang berlipat ganda. Sebuah hadith riwayat Al-Imam At-Tabaranni menyatakan:

"Tidak akan kurang harta daripada sedekah dari harta yang ada dan tiada menghulurkan tangan seorang hamba dengan sedekah melainkan sedekah itu jatuh terlebih dahulu ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan orang yang meminta. Dan tiadalah seorang itu mula membuka pintu yang dia sendiri sepatutnya tidak behajat kepadanya melainkan dibuka oleh Allah kepada-Nya pintu kekayaan".

Manakala dalam hadith yang lain pula Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Daripada Abi Hurairah Radiallahu Anha, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Hamba itu berkata: Hartaku, hartaku, sedangkan harta yang ada padanya hanyalah tiga macam: Iaitu apa yang dimakannya akan habis, apa yang dipakainya menjadi buruk dan apa yang diberikan kepadanya menjadi miliknya. Adapun yang lain daripada itu semuanya pergi dan tinggal kepada orang lain" (Riwayat Al-Imam Muslim).

KHUTBAH AIDILFITRI YANG PERTAMA

Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
PADA hari ini marilah kita mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dengan penuh iman dan khusuk tawaduk kerana mengurniakan kepada kita nikmat dan kelebihan pada menjadikan Hari Raya AidilFitri sebagai amalan ibadah orang Islam. AidilFitri sebenarnya bukanlah satu hari perayaan biasa dalam makna bersuka gembira secara uruf duniawi dengan makan minum, atau ada pula perayaan yang lebih dari itu dengan mengadakan majlis-majlis sambutan yang di luar batas hukum syarak dikaitkan dengan Hari Raya AidilFitri. Hari ini AidilFitri ialah hari perayaan bersifat agama kalau kita mengikut aturan syarak maka orang yang meraikan hari raya ini mendapat pahala kerana ia dikaitkan dengan puasa Ramadhan. Kalau tidak ada puasa Ramadhan maka tiada ada AidilFitri. AidilFitri ertinya hari raya yang dirayakan kerana kejayaan menunaikan perintah Allah puasa Ramadhan. Jadi orang yang tidak berpuasa tidaklah ada erti dia meraikan AidilFitri. Hendaklah kita umat Islam ingat bahawa setiap gerak langkah dan amal perbuatan kita itu berpunca daripada suruhan atau larangan Allah. Firman Allah dalam surah An-Naam ayat 162-163 tafsirnya:

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, pencipta dan pentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan dengan itu aku diperintahkan, dan aku adalah orang mula-mula menyerah diri kepada Allah dikalangan umatku".

Apabila kita umat Islam sepenuh jiwa raga mengingati dengan iman dan ihsan bahawa semua kerja dan perbuatan kita itu semata-mata kerana Allah maka hasilnya kita akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah seperti firman-Nya dalam surah At-Taubah ayat 120-121 tafsirnya:

"Yang demikian kerana sesungguhnya tiap-tiap kali mereka merasai dahaga, dan merasa penat lelah, dan juga merasa lapar dalam perjuangan pada jalan Allah, dan tiap-tiap kali mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir, dan juga tiap-tiap kali mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka pahala amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas sesuatu lembah melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".

Wahai umat Islam alangkah sangat pemurahnya Allah itu! Setiap perbuatan baik dalam suka dan duka, lapar dahaga, penderitaan, sedekah dan sebagainya dibalas dengan pahal, tetapi sebahagian daripada kita seolah-olah tidak ingin kepada pahala. Mereka hanya menyukat pahala dengan balasan dunia yang berupa kesenangan dunia dan wang ringgit serta pangkat dan kedudukan.

Sebab itulah kita melihat sebahagian umat Islam melebihkan amal hidup yang merupakan keperluan duniawi sementara ini dan kurang menghargai ganjaran yang diberi oleh Allah. Mungkin kerana pahala itu tidak kelihatan bukan seperti wang ringgit.

Allah Subhanahu Wata?ala berfirman dalam surah Al-Aqla ayat 14-17 tafsirnya:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal yang soleh. Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhanmu, serta mengerjakan sembahyang dengan khusuk. Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian, bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal".

Wahai umat Islam, meraikan hari ini tidaklah tercapai dengan hanya menghidangkan juadah, minuman yang mewah sampai tahap membazir, bukanlah dengan mengadakan pesta-pesta dan sambutan sehingga tinggal waktu sembahyang atau tinggal waktu bekerja dipejabat-pejabat. Dalam masyarakat kita perkara-perkara seumpama ini telah menjadi suatu budaya, tetapi budaya seperti ini sebenarnya adalah penyakit yang semakin menular mendatangkan kesan yang tidak sihat kepada sistem kehidupan kita terutamanya membazir makanan dan minuman serta membanyakkan perbelanjaan yang sebenarnya tidak perlukan. Dan kedua, membuang masa bekerja sedangkan waktu bekerja itu wajib disempurnakan mengikut peraturan dan sebaliknya perayaan hari raya ini hanyalah suatu kesukaan bukan juga sunat yang disuruh orang agama kita.
Allah Ta'ala telah menjadikan umat Islam yang sederhana, kerana itulah sifat kehidupan yang sangat dituntut oleh Allah. Sememangnya kalau kehidupan di dunia ini dilebihkan daripada yang sepatutnya maka ia akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada diri seseorang, demikian juga sebaliknya kalau keperluan hidup tidak sempurna maka akibat yang timbul juga tidak mendatangkan faedah.

Sebenarnya apa-apa sahaja dalam hidup kita ini manusia perlu bersikap sederhana buka berlebihan, berlebih-lebihan itu mendatangkan sifat tamak dan dengki khianat, sedangkan terlalu sempit dan menyempitkan cara hidup, akibatnya sebagaimana yang pernah disebut oleh Saidin Ali Karamallah Wajhah ertinya: Kemiskinan atau kepapaan hampir kepada kufur.

Allah Subhanahu Wata'ala memberi panduan kepada kita dengan firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 143 tafsirnya:

"Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan sebagai umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia tentang yang benar dan yang salah dan Rasul Allah pula akan menjadikan saksi keatas perbuatan kamu".

Ayat Al-Qur'an itu secara tidak langsung memerintahkan supaya umat Islam dapat menjadi contoh tauladan yang baik dan sempurna kepada dunia supaya umat Islam menjadi pusat pehatian orang lain dalam menjalani kehidupan di dunia ini dengan demikian orang lain akan tertarik mengikut Islam, masuk agama Islam dan mengamalkan faedah-faedah Islam. Tetapi kita lihat sekarang betapa orang Islam menjadi lemah, hanya menjadi pengikut kepada orang lain dengan kata lain bagaimana orang lain akan tertarik kepada agama Islam sedangkan para pengikut agama Islam sama sahaja tidak lebih baik daripada orang lain itu umat Islam tentu tidak dapat menjadi contoh tauladan kalau cara hidup mereka tidak berbeza dengan orang lain itu.

Perkara itu kita lihat dalam cara kehidupan golongan muda yang lebih banyak mengamalkan budaya bukan Islam, budaya asing yang hanya mementingkan kesukaan dan kegembiraan termasuklah hari raya. Malah hari perayaan lain seperti awal tahun masihi, hari krismas telah disambut dengan lebih meriah dengan acara-acara yang sangat menarik hati sama seperti perayaa agama sendiri. Di mana dia jati diri golongan muda yang mengaku beragama Islam ini? Mereka di masa hadapan akan menjadi tonggak pembangunan umat Islam bakal mengganti keturunan yang ada pada masa ini. Tetapi dapatkah umat Islam mempertahankan nilai agama dan kemurnian Islam jikalau sekirannya golongan pelapis yang muda pada masa ini sudah sedari awal tidak boleh diharap sangat? Iman yang lemah, jiwa yang lemah, akhlak yang runtuh tidak tahan ugut hanya mencari sesuatu yang mudah dan tidak sanggup berusaha untuk mendapat hasil sebaliknya hanya sanggup menadah tangan meminta-minta dan menerima. Mereka ini terlibat pula dalam gerakan anti sosial seperti menjadi penagih dadah, melakukan perbuatan sumbang dan lain-lain.

Oleh sebab itu kita semua terutama pihak ibubapa dan para pemimpin belia hendaklah bangun menyedari mereka yang masih lali yang terperangkap dalam godaan kehidupan yang merugikan umat ini. Kita tidak lagi boleh enggan atau lalai walaupun sekejap sahaja atau "malas tah ku ingau". Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Daripada Thauban ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Hampir semua umat (bukan Islam) akan berkumpul melawan kamu sebagaimana penyakit kuli berkumpul di tempat tumbuhannya, para sahabat bertanya: Adakah pada masa itu kita sedikit ya Rasulullah? Sabda baginda: Tidak, malah kamu pada masa ini ramai. Tetapi kamu telah menjadi seperti buih air bah. Allah telah memasukan kedalam hati kamu "Al-Wahnun" (lemah) itu? Mereka bertanya: Wahai Rasulullah apakah makna "Al-Wahnun" (lemah) itu? Rasulullah menjawab: Ianya perasaan sayang kepada dunia dan takut mati".

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, kita lihat di mana-mana umat Islam seolah-olah dengan mudah diolah-olahkan oleh orang lain dan umat Islam hanya sanggup membantah, mengadakan protes tetapi orang tidak merasa gentar, benarlah sabda Rasulullah, umat Islam menjadi buih kerana sebenarnya umat Islam telah dididik dengan perkara yang menyebabkan jiwa mereka lemah, mudah tunduk dan mengalah iaitu pertama: Godaan segala kemudahan dan kesenangan yang melalaikan, perkara ini telah menjadi larangan Allah kepada umat Islam.

Sebagaimana yang tesebut dalam surah Fatar ayat 5 tafsirnya:

"Wahai umat manusia sesungguhnya janji Allah membalas amal kamu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan kemurahan Allah lalu kamu lalai dan menderhaka".

Surah An-Najal ayat 112 tafsirnya:

"Dan berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar Allah telah memberikan satu contoh: sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan".

MENERUSKAN AMALAN RAMADAN DI BULAN-BULAN LAIN

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Ramadhan adalah bulan Tarbiah yang dapat mendidik dan mendisiplinkan diri agar kita lebih berazam dan beristiqamah dengan amalan-amalan fardhu mahupun sunat di bulan-bulan yang lain. Didikan Ramadhan yang mendisiplinkan diri kita memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.

Ramadhan yang dipenuhi dengan tuntutan fardhu mahupun sunat seperti solat fardhu berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, bermurah hati dengan sedekah dan amal jariah, istiqamah dalam membaca Al-Qur'an dengan menyertai majlis-majlis tadarus, rajin melakukan Qiamulail dan berbagai-bagai ibadah lain seperti bertakbir, bertasbih, berselawat dan memperbanyakkan doa, adalah untuk kita teruskan di bulan-bulan yang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada kelazimanya apabila kita meraikan hari raya, antara amalan yang menjadi budaya dan tradisi masyarakat kita ialah amalan kunjung mengunjungi, ziarah menziarahi dan mengadakan rumah terbuka. Ziarah menziarahi dan memberi makan sememangnya dianjurkan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam. Jika? pada waktu atau bulan-bulan yang lain, kita kurang berkesempatan inilah kita dapat menjalin semula keakraban dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat hadai.

Sememangnya inilah masa yang paling sesuai untuk kita merapatkan hubungan silaturrahim, jika sebelum ini ada berlaku ketegangan, salah faham atau perselisihan yang membawa kepada bermasam muka dan tidak bertegur sapa, maka ambilah peluang di hari yang penuh berkat ini untuk kita mengeratkan semula hubungan yang renggang dan pudar tersebut dengan menghulurkan tangan bermaaf-maafan. Semoga semangat ukhuah di bulan Syawal mampu melenyekkan keegoan, perselisihan, perbalahan, mana yang kusut kembali dirongkaikan, buang yang keruh ambilah yang jernih.

Dalam meraikan hari raya, elakkanlah mencemarinya dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan mendatangkan dosa seperti bersalaman dengan bukan mahram dan memakai pakaian yang tidak sopan dan tidak bersesuaian serta bertentangan dengan hukum syarak.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam mengajar kita melakukan sesuatu secara besederhana, justeru itu dalam keghairahan sesetengah kita meraikan AidilFitri dengan mengadakan rumah terbuka, janganlah sampai berlaku pembaziran. Apa yang mendukacitakan terdapat sebilangan orang yang menyediakan hidangan secara berlebih-lebihan kononnya malu jika makanan yang dihidangkan itu hanya ala kadar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 26-27 tafsirnya:

"Dan beriikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Apa yang menyedihkan terdapat juga sebilangan orang sanggup berhutang semata-mata kerana ingin membuat rumah terbuka, kononnya malu dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai jika tidak membuat rumah terbuka. Mengadakan majlis rumah terbuka tidaklah salah, tetapi janganlah berbelanja diluar kemampuan sehingga membebankan diri sendiri, pepatah ada mengatakan ukurlah baju di badan sendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kemeriahan kita berhari raya janganlah kita lupa melaksanakan amalan yang sangat dituntut iaitu berpuasa enam hari di bulan Syawal bermula pada hari kedua Syawal. Adalah lebih afdal berpuasa eman dikerjakan secara berturut-turut, walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal setelah berpuasa sebulan Ramadhan, pahalanya seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun. Ini dijelaskan di dalam hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Dari Abi Ayub Al-Ansari Radiallahu Anha, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Maka berdasarkan hadith tadi, jelaslah betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita umat Islam. Maka seharusnya kita merebut peluang ini dan bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan tersebut. Alangkah ruginya jika kita tidak merebut peluang yang hanya datang setahun sekali, sedangkan kita mengetahui akan fadilatnya serta kelebihannya yang besar.

Selain daripada balasan pahala yang dijanjikan Allah Subhanahu Wataala kepada kita, hikmah puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini diharapkan dapat menampung mana-mana kececatan yang berlaku dalam puasa Ramadhan kita. Di samping itu juga, puasa sunat ini dapat terus mengekalkan kesihatan tubuh badan kita kerana kebiasaanya di musim ini kita makan berlebihan dari had yang sepatutnya.
Muslimin yang dirahmati Allah,

Kedatangan Ramadhan hanya setahun sekali. Dengan berakhirnya Ramadhan, jangan pula kita menjadikan sebagai titik penghujung amal ibadah kita kerana amal ibadah tersebut bukan sahaja dapat dilakukan di bulan Ramadhan bahkan kita hendaklah mempraktikan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya AidilFitri dengan metaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam, dengan tidak mencemari sambutan AidilFitri dengan dosa dan maksiat atau perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan segala ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-A's ayat 1-3 tafsirnya:

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

TUNTUTAN MENYAMBUT SYAWAL

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita sekarang berada pada hari jumaat yang terakhir bagi bulan Ramadhan pada tahun ini, ini bermakna tidak lama lagi kita akan meninggalkan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Sementara kita masih lagi berada di dalam bulan ini marilah kita merebut peluang yang masih ada dengan mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala antaranya dengan melipatgandakan amalan membaca Al-Qur'an walaupun mungkin ada di antara kita yang telah pun khatam membacanya pada bulan ini, kita juga hendaklah tidak meninggalkan sembahyang sunat terawih kerana sembahyang sunat yang istimewa ini hanya dapat dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Marilah kita juga memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain seperti sembahyang-sembahyang sunat, Qiamulail, zikir dan doa-doa, lebih-lebih lagi pada masa ini kita masih berkesempatan untuk merebut peluang bagi mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dengan berakhirnya Ramadhan yang mulia ini, ini bermakna umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya AidilFitri. Tentunya kita selaku umat Islam merasa gembira menyambut kedatangannya. Pada masa ini tidak dapat dinafikan sebahagian besar di antara kita pasti sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Fitri. Apa yang perlu diingat kita hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam persiapan menyambut Hari Raya, tidak berlebih-lebihan atau bertujuan untuk bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat ria'. Oleh itu amalkanlah sifat berjimat cermat dalam berbelanja dan elakkanlah pembaziran. Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 26-27 tafsirnya:

"Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan pula adalah mahluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya".

Muslimin yang berbahagia,
Sebenarnya tujuan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri adalah untuk meraikan kejayaan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Dalam hal ini Islam mengariskan panduan tentang cara kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata?ala dengan melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, tasbih dan sebagainya.

Pada setiap kali tibanya malam raya, seruan takbir akan berkumandang di masjid-masjid, rumah-rumah persendirian, di corong-corong radio dan juga kaca televisyen. Dengan bergemanya takbir itu, maka terasalah kemeriahan suasana Hari Raya. Inilah cara sambutan Hari Raya yang sebenar dan menepati ajaran Islam, iaitu bagi melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah Subhanahu Wata'ala, sesuatu dengan maksud takbir iaitu membesarkan dan mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala.

Takbir pada Hari Raya Aidil Fitri dinamakan takbir Mursal atau Mutlak iaitu takbir yang tidak terikat waktunya selepas mengerjakan sembahyang. Takbir Hari Raya Aidil Fitri sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sebagaimana menurut Imam Ibni Hurairah Radiallah ia berkata: Sunat melaungkan takbir Hari Raya Aidil Fitri samada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara jahar iaitu suara yang jelas dan nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga Imam mengangkat takbiratulikhram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir adalah sebagai syiar bagi menandakan waktu Aidil Fitri itu tiba, maka adalah lebih utama Aidil Fitri itu disambut dengan takbir.

Menurut Assyabara Malisi Rahmatullah, apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah Al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Oleh yang demikian, jika sekiranya pada tahun ini Hari Raya di negara kita jatuh pada hari jumaat, maka ada baiknya kita menghidupkan malam Hari Raya dengan cara sedemikian.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Manakala pada pagi Hari Raya, terdapat juga beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan seperti disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidil Fitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Disamping itu kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, memakai pakaian yang paling elok kerana Hari Raya merupakan hari untuk berhias-hias. Setelah itu, kita disunatkan juga untuk memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Menunaikan sembahyang Hari Raya adalah perkara yang dituntut dalam kita menyambut Hari Raya, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Dari Abdullah bin Umar : Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam mengerjakan sembahyang sunat pada Hari Raya Aidil Adha dan pada Hari Raya Aidil Fitri. Kemudian baginda berkhutbah selepas mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Inilah keindahan yang ada dalam ajaran agama Islam, yang telah mengariskan adab-adab dalam setiap amal perbuatan umatnya, termasuklah dalam itika menyambut Hari Raya. Tujuannya ialah supaya umat Islam sentiasa berada dilandasan yang betul dan tidak terpesong ataupun terpengaruh dengan adab-adab yang tidak bersesuaian dengan ajaran Islam. Adab menyambut Hari Raya yang telah digariskan oleh agama Islam membuktikan bahawa Hari Raya bagi orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan perayaan bagi bukan Islam. Apatah lagi Hari Raya Aidil Fitri ini disambut sebaik saja selepas menunaikan ibadah puasa. Selaku umat Islam kita meraikan hari kemenangan kita bukan setakat untuk bergembira sahaja, tetapi juga untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata?ala di atas segala limpah kurnia dan nikmat yang telah diberikan kepada hamba-hamba-Nya.

Muslimin yang berbahagia,
Kedatangan Ramadhan hanya setahun sekali, dan belum tentu kita akan dapat bertemu kembali dengan Ramadhan yang akan datang. Oleh itu dengan beradanya kita di penghujung bulan Ramadhan ini, sama-samalah kita merebut peluang ini sebanyak-banyaknya dengan meningkatkan amal ibadah serta iman dan takwa kita Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu janganlah kita lupa akan kewajipan zakat fitrah yang wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam.

Akhirnya marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidil Fitri dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Di samping itu marilah kita berdoa mudah-mudahan segala amal ibadah yang kita kerjakan selama ini diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Seterusnya semoga kita diberi keberkatan, rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta dipanjangkan umur sehingga kita dapat bertemu kembali dengan Ramadhan akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 133 tafsirnya:

"Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa".

Rabu, 15 September 2010

bertemu kembali

waaah.... beraya sakanlah.... kitaorang berhari raya, blog pun bercuti raya. hari2 sibuk beraya sampai tak ada masa nak update blog. setiap pagi, sibuk memasak untuk tetamu dan untuk diri sendiri. setiap petang sibuk berkunjung ke rumah saudara mara. malam, melayan tetamu datang dan masih sibuk membuat kuih raya yang tak sempat dibuat di bulan ramadan.

bila sudah mula bertugas ke pejabat, setiap tengahari dan petang ada2 saja jemputan untuk mengisi perut. bersambung2lah lagi kesibukan berhariraya. ditambah lagi hari jumaat dan ahad ada jemputan perkahwinan. dari pagi hingga malam setiap hari tak henti2 ke majlis mengisi perut. alhamdulillah... balum lagi kebuluran orang Brunei ani.... masih cukup makan dan pakai.....

Rabu, 1 September 2010

cucur tarap

sebelum ramadan ari atu buah tarap junterah, inda lagi temakan, so.. untuk tidak membazir, buka dan simpan di freezer. bila2 masa terliur kan makan cucur tarap, bolehlah menyucur walaupun bukan musim tarap. cara ummusya menyucur tarap very simple hanya perlukan tepung, air, serbuk kunyit dan buah tarap. kalau tambah yang lain2, para pelanggan di rumah tak gemar. paksa tah ikut selera pelanggan.

NUZUL AL-QUR'AN DAN LAILATUL QADAR

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, lebih-lebih lagi ketika kita berada di bulan Ramadan yang mubarak ini. Mudah-mudahan segala amal ibadah kita diterima, dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulilah, kita bersyukir kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah mentakdirkan kita menjadi orang Islam yang dikurniakan kitab suci Al-Qur'an yang menjadi cahaya dan petunjuk bagi membimbing kita semua ke jalan yang benar.

Al-Qur'an ialah mukjizat agung Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam yang kekal terpelihara sehingga kehari kiamat. Al-Qur'an ialah kitab yang terdiri dariapda ayat-ayat yang diturunkan kepada baginda Sallahu Alaihi Wasalam. Al-Qur?an ini makna asalnya ialah bacaan dan disebut juga sebagai Kalamullah yakni kitab Allah.

Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat-ayat Al-Qur'an melalui malaikat Jibril Alaihi Salam untuk disampaikan kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Jibril Alaihi Salam akan membacakannya kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam dan menyuruh baginda membacakan ayat-ayat yang telah diturunkan sehinggalah ayat-ayat itu terkumpul dan menetap di dalam dada baginda. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Kiamah ayat 17-18 tafsirnya:

"Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Qur?an itu dalam dadamu, dan menetapkan bacaannya pada lidahmu. Oleh itu apabila kamu telah menyempurnakan bacaannya kepadamu dengan perantaraan Jibril, maka bacalah menurut bacaan itu"

Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam menerima Al-Qur'an daripada malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat, sedikit demi sedikit, terdiri daripada beberapa ayat, atau kadang-kadang juga surah yang pendek. Al-Qur'an diturunkan terus menerus selama dua puluh tiga tahun iaitu tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah sehinggalah terhimpun kesemuanya tiga puluh jarak. Ayat yang turun di Mekah dinamakan Makiah dan yang turun di Madinah pula dinamakan Madaniah.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Al-Qur'an itu dinamakan juga wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain daripada Al-Qur'an, ada pula beberapa perkara lain yang juga dinamakan wahyu, seperti ada kalanya wahyu itu berupa ilham yang diletakan Allah Subhanahu Wata'ala di dalam hati para nabi, atau ada kalanya dengan menyampai seperti menyampai Nabi Ibrahim Alaihi Salam yang mendapat perintah Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihi Salam. Demikian juga wahyu itu adalah hadith-hadith nabi atau sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam yang meliputi segala percakapan berupa hukum, perintah dan larangan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Najam ayat 3-4 tafsirnya:

"Dan ia tidak memperkatakan sesuatu yang berhubung dengan agama Islam menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu samada Al-Qur'an atau hadith tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya"

Oleh itu wahai kaum muslimin, janganlah dianggap hadith-hadith Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam itu sebagai kata-kata dan pertuturan yang keluar daripada hati dan pemikiran biasa, tetapi ia adalah wahyu Allah Subhanahu Wata'ala. Maka kedudukannya sangatlah tinggi selepas Al-Qur'an. Hadith-hadith tersebut tidaklah boleh disamakan dengan kata-kata falsafah, karya-karya sastera dan ucapan-ucapan para sarjana. Kerana itulah hadith-hadith tidak boleh dibahas, dipertikai atau diragui.

Pada zaman sekarang ini, kita ada mendapati perkataan dan kelakuan segelintir orang-orang kafir yang menghina Al-Qur'an dan hadith-hadith Nabi Sallahu Alaihi Wasalam. Dalam perkara ini kita hendaklah berhati-hati supaya jangan sekali-kali terpedaya atau terpengaruh dengan apa jua propaganda yang cuba mencemarkan kesucian dan kebenaran Al-Qur'an dan hadith. Sesungguhnya Al-Qur'an dan hadith itu adalah wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang benar, yang terpelihara keasliannya dan tidak boleh ditolak dan dibantah lagi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Beberapa hari lagi kita akan memasuki sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Maka apabila memasuki sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kita pasti akan membicarakan tentang Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Adapun jalan terbaik untuk memperolehi Lailatul Qadar itu ialah dengan menghidupkan tiap-tiap malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadan dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata?ala, tanpa menunggu-menunggu malam ganjil seperti disebutkan oleh kebayakan para ulama. Dengan berbuat taat kepada Allah Subhanahu Wata?ala pada setiap malam, nescaya akan terkandunglah di dalamnya Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Aswad bin Yazid, berkata Aisyah Radiallahu Anha: Adalah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadah di sepuluh yang terakhir bulan Ramadan, apa yang baginda tidak kerjakan di sepuluh terakhir bulan-bulan yang lain" (Riwayat Al-Imam Muslim)

Perlu diingat bahawa Lailatul Qadar yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan itu bukanlah kata-kata biasa atau ucapan slogan, sehingga kita memperlakukannya atau melaluinya seperti malam-malam yang lain tanpa memperbanyakkan amalan, atau memadai dengan sembahyang terawih dan sembahyang witir. Janganlah dibiarkan malam-malam itu berlalu dengan kekosongan, kerugian dan penyesalan, sedangkan Ramadan yang akan datang belum tentu kita berpeluang bertemu lagi kerana umur dan kekuatan jasmani tidak kita ketahui.

Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anh, dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam baginda bersabda: Barangsiapa mengerjakan ibadah di malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaannya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu" (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala memberi kita kesihatan tubuh badan dan kekuatan azam untuk melakukan amal soleh sepanjang hari dan malam di bulan yang mulia ini. Amatlah rugi jika kita mengisi malam-malam tersebut dengan urusan-urusan keduniaan seperti membuat persiapan dan persediaan menyambut hari raya.

Marilah kita mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperbanyakan melakukan sembahyang sunat, membaca Al-Qur'an, berdoa dan berzikir dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka beruntunglah bagi orang-orang yang memperolehi apa yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata?ala pada malam Lailatul Qadar itu.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di bulan Ramadan yang mulia ini juga, kita rebutlah peluang bersedekah, kerana amalan bersedekah, tidak kira kecil atau besar, banyak atau sedikit adalah amalan mulia yang sangat dianjurkan oleh agama Islam dan dijanjikan ganjaran yang sangat besar dan berlipat ganda.

Sesungguhnya bersedekah itu menzahirkan rasa syukur kita terhadap nikmat rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala, sekaligus dapat menjauhkan kita dari bersifat kedekut, bakhil dan tamak. Bahkan dengan bersedekah dapat meringankan beban orang yang berhajat dan memerlukan bantuan. Oleh itu memperbanyakkanlah amalan bersedekah, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Marilah kita contohi keperibadian baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam yang sangat pemurah dalam kebaikan dan lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadan.

Pada masa ini terdapat banyak kemudahan ataupun cara untuk kita menghulurkan sedekah, antaranya melalui perkhidmatan pesanan ringkas (sms), melalui potongan akaun bank atau melalui tabung-tabung yang disediakan seperti tabung masjid, tabung untuk anak-anak yatim dan sebagainya, termasuklah tabung kemanusiaan mangsa bencana banjir Pakistan yang telah dilacarkan baru-baru ini yang ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara selama dua bulan mulai 16 Ogos 2010 yang lalu hingga 15 Oktober 2010. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan penderitaan yang dihadapi oleh mangsa banjir di Pakistan.

Perlu diketahui bahawa orang-orang yang suka bersedekah itu adalah orang yang beruntung dan bukannya orang yang rugi, kerana dengan bersedekah rezekinya akan bertambah dan akan mendapat ganti yang lebih baik dari apa yang telah dibelanjakannya untuk bersedekah itu. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita semua dimurahkan rezeki dan tergolong dikalangan orang-orang yang pemurah dan suka bersedekah. Amin Ya Rabal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 245 tafsirnya:

"Siapakah orang yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas, supaya Allah akan melipat gandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jua lah yang menyempitkan dan meluaskan pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan".

kelebihan ayatul kursiy

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Di bulan inilah turunnya kitab suci Al-Quran. Al-Quran diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekelian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185 tafsirnya :

"Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah".

Kitab suci Al-Quran tidak serupa dengan kalam makhluk, bahkan seluruh makhluk tidak berupaya untuk mencipta atau meniru yang seumpamanya. Oleh itu kita wajib mengagungkannya. Kita juga hendaklah membacanya dengan sebenar-benar bacaan, dengan mengelokkan bacaan, dengan khusyuk apabila membaca, dengan mengawal dan menjaga huruf-hurufnya dan adalah lebih elok kita mengetahui makna ayat yang dibaca supaya kita dapat memahaminya dan seterusnya meninggalkan kesan kepada kita. Kita juga hendaklah membela serta mempertahankan kitab suci Al-Quran daripada sebarang penghinaan atau pemesongan oleh orang-orang yang melampau dan sesat.

Ketahuilah barangsiapa merendahkan Al-Quran atau mencacinya seperti mengingkari satu huruf daripadanya atau mendustakan satu hukum atau cerita atau menolak sesuatu yang telah sabit sebagai Al-Quran itu dengan sedar dan senghaja maka menurut ijmak ulama, perbuatan seumpama itu akan menjadikan seseorang itu kafir.

Itu baru mengingkari atau menambah satu huruf atau menolak satu hukum atau cerita daripada Al-Quran itu, betapa pula jika satu ayat, satu juzuk dan banyak hukum-hukum Al-Quran itu yang dibengkang dan diingkari dengan secara sedar. Contohnya orang memutarbelitkan hukum mengenai arak, mengenai riba, mengenai puasa dan sebagainya. Jika terdapat di dalam perbuatan atau di dalam niat (hati) kita mengkritik dan tidak bersetuju atau kurang bersetuju dengan hukum-hukum Allah ini, maka perkara tersebut boleh menjejaskan akidah.

Kerana itu wajiblah dijaga lidah dan perbuatan serta dipelihara hati dalam apa jua keadaan supaya jangan sekali-kali celupar dan mendewakan akal fikiran daripada Al-Quran. Hukum Al-Quran bukanlah digubal oleh mana-mana pakar tetapi langsung daripaha Maha Pencipta yang Maha Bijaksana.

Maka marilah kita berpegang teguh dengan Al-Quran, kita pelajari, kita baca dan kita ambil pengajaran daripadanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh umat Islam mengaji Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak kerana di dalam Al-Quran itu mengandungi hukum dan ajaran-ajaran mengenai akhlak, tauhid dan yang berkait dengan kehidupan, kisah-kisah yang menjadi iktibar atau pengajaran berupa perkhabaran ghaib yang boleh mendatangkan keinsafan dan mengasuh iman.

Ketahuilah para ibu bapa yang berusaha mengajar Al-Quran kepada anak mereka sendiri ataupun dengan mencari guru untuk mengajar anak-anak supaya pandai mengaji Al-Quran dan beramal dengannya, maka ibu bapa seperti itu akan diberikan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak. Hal ini telah disebutkan dalam sebuah hadis maksudnya :

"Daripada Sahl bin Muaz Al-Juhani daripada bapanya : Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa membaca Al-Quran dan dia beramal dengan isi kandungannya nescaya Allah pakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada hari kiamat yang cahayanya lebih elok dari cahaya matahari yang menyinari rumah-rumah di dunia". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Begitulah wahai kaum Muslimin, ganjaran bagi ibu bapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka pandai mengaji Al-Quran. Faedahnya tidaklah terhenti setakat di dunia sahaja malahan akan diterimanya pula di akhirat. Mereka akan memakai mahkota di akhirat demi kerana jasa dan susah payah mereka sehingga dapat menjadikan anak-anak mereka pembaca, penghafaz dan pengamal Al-Quran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran itu mempunyai banyak kelebihan dan fadilatnya, antaranya surah Al-Baqarah sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis maksudnya :

"Daripada Abi Umamah Al-Bahili, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Bacalah oleh kamu surah Al-Baqarah kerana mempelajarinya suatu keberkatan dan meninggalkannya satu kerugian. Dan sahir sekali-kali tidak dapat menentangnya".

Sebagaimana yang kitani maklum, antara ayat yang masyhur yang terkandung di dalam surah Al-Baqarah ialah ayat Al-Kursi. Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan ayat Al-Kursi itu sebagai perisai bagi orang-orang yang beriman daripada kejahatan syaitan. Ini dibuktikan oleh banyak riwayat, antaranya dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawa beliau pernah memegang anak kunci rumah tempat menyimpan harta sedekah termasuklah juga sedekah buah tamar.

Pada suatu hari beliau pergi ke rumah itu dan mendapati buah tamar yang ada dalam simpanannya telah berkurangan. Pada hari berikutnya, beliau pergi ke sana lagi dan mendapati ada lagi tamar yang hilang. Lalu beliau pun menghadap Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan menceritakan perkara yang berlaku. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Adakah engkau mahu menangkap siapa pencurinya?' Abu Hurairah Radiallahu Anhu menjawab : 'Ya, aku mahu'. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Apabila engkau membuka pintu rumah itu maka engkau ucapkanlah : Subhana Min Saqqaraka Li Muhammad yang maksudnya : Maha suci Allah, siapa yang menundukkanmu kepada Nabi Muhammad'.

Abu Hurairah pun melaksanakan perintah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu. Apabila pintu dibuka, beliau pun membaca apa yang diajarkan oleh Baginda tadi. Dengan tiba-tiba sahaja beliau menemui pencuri tamar berdiri di hadapannya iaitu dari kalangan jin. Abu Hurairah berkata : 'Wahai musuh Allah, adakah engkau yang mencuri tamar ini?' Jin itu menjawab : 'Ya, tetapi saya tidak akan datang lagi mencurinya. Saya mengambilnya hanyalah untuk keluarga jin yang miskin sahaja'.

Abu Hurairah melepaskannya pergi tetapi pada waktu lain, jin itu masih datang juga mencuri tamar. Perkara itu diadukan lagi kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda bertanya : 'Adakah engkau ingin menangkapnya? 'Abu Hurairah menjawab : 'Ya', Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Baca kepadanya seperti apa yang pernah engkau baca'. Abu Hurairah pun melakukan seperti yang disuruh. Sebaik-baik pintu dibuka, beliau membaca : Subhana Min Saqqaraka Li Muhammad, tiba-tiba sahaja jin itu berdiri di hadapannya. Beliau berkata : 'Wahai musuh Allah, bukankah engkau telah berjanji tidak akan datang lagi?'.

Jin itu meminta supaya dia dibenarkan pergi dan berjanji tidak akan datang lagi. Tetapi sampai kali ketiga dia masih datang juga mencuri. Abu Hurairah berkata : 'Demi Allah! Aku tidak akan melepaskan kamu lagi sehingga aku membawamu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam'. Jin berkata : 'Jangan! Jika engkau melepaskan aku, aku akan mengajar atau memberitahumu satu kalimah yang apabila engkau baca, maka tidak ada mana-mana jin yang boleh menghampirimu sama ada jin kecil atau besar, jantan atau betina'. Abu Huraurah bertanya : 'Betul engkau akan lakukan ini?' Maka jin itu pun membacakan ayat Al-Kursi. Kemudiannya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengakui betul apa yang dikatakan oleh jin itu mengenai keutamaan ayat Al-Kursi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Demikianlah di antara fadilat ayat Al-Kursi. Sebenarnya ada banyak lagi faedah dan fadilat bila kita membaca ayat Al-Kursi. Sememangnya ayat Al-Kursi dan ayat-ayat Al-Quran yang lain adalah mengandungi kekuatan dan kehebatan yang tidak ada tolak bandingnya. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kekuatan, kehebatan dan keberkatan, hendaklah ia dibaca dan diamalkan.

Kita jadikan membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya amalan bermusim sekali setahun, janganlah hanya di bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Quran tetapi di bulan-bulan yang lain kita lalai dengan kesibukan-kesibukan harian.

Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai Al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia ini dan akan mendapat syafaat di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 82 tafsirnya :

"Dan Kami turunkan daripada Al-Quran ayat-ayat yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian".

cucur bubuk kering

biasanya orang menyucur bubuk pakai bubuk segar/basah. oleh sebab sudah tais liur kan makan cucur bubuk, tapi bukan musim bubuk, paksa tah pakai bubuk kering saja. modified bubuk kering atu jadi bubuk basah. bubuk kering atu rendam selama 15 minit, barutah dicampur dengan tepung, air, serbuk kunyit, garam, cili, bawang dan gula. kalau suka campur jua tauge, daun sup atau daun bawang. hasilnya lebih kurang jua macam cucur bubuk segar.