Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang mencintai keharmonian dan keamanan, kerana itulah Islam mengambil berat tentang hubungan baik antara sesama manusia khususnya dalam mengeratkan hubungan silaturrahim, baik sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai mahupun masyarakat global. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiaallahu Anha, Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturrahim". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Dalam usaha mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan itu, agama Islam telah menunjukkan jalan atau amalan yang patut dilakukan bagi mencapai tujuan yang dihasratkan itu, antaranya mengundang atau menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai ke majlis atau kenduri yang diadakan. Amalan mengundang dan memenuhi undangan itu adalah sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, bahkan baginda mengalakkan para sahabat untuk mengadakan dan menghadiri kenduri. Amalan inilah yang menjadi tradisi orang-orang kita Brunei, menjemput atau mengundang saudara mara, jiran dan kawan-kawan untuk menghadiri majlis yang diadakan, baik secara formal atau tidak, seperti majlis perkahwinan, majlis rumah terbuka sempena hari raya, majlis membaca doa selamat, bertahlil dan membaca doa arwah, majlis akikah dan sebagainya.
Bagi orang-orang yang hendak menjemput dan menerima jemputan, maka perlulah mengetahui bahawa agama Islam ada memberikan panduan dan adab-adab yang perlu diikuti oleh mereka, antara adab-adab itu ialah orang yang mengundang itu hendaklah tidak membezakan kedudukan mereka yang diundang samada golongan kaya atau golongan miskin. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam ada menyatakan dalam sabda baginda maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang-orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang miskin" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Sementara itu, niat menjemput pula hendaklah semata-mata untuk merapatkan hubungan silaturrahim, bukan untuk lain-lainnya seperti hendak berbangga-bangga dan bermegah-megah, dan hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar untuk menerima undangan, begitu juga orang yang diketahui kehadirannya akan merosakkan dan menghuru-harakan majlis yang diadakan.
Ahli jemaah yang berbahagia,
Manakala adab bagi orang yang menerima undangan pula ada lima iaitu:
Pertama: Tidak membezakan undangan, baik undangan tersebut datangnya daripada orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam.
Kedua: Tidak menolak sesuatu undangan hanya disebabkan alasan jauh.
Ketiga: Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya. Jika ia hanya berpuasa sunat, ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah. Tetapi jika ia berpuasa wajib seperti puasa qada?, maka tidaklah boleh ia berbuka.
Keempat: Menolak undangan jika diketahuinya makanan yang dihidangkan dari barang yang syubahat dan haram, ataupun dimajlis itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran seperti hiburan yang diharamkan oleh syarak, ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik atau suka bermegah dan membesar diri.
Kelima: Janganlah hendaknya menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak parut, bahkan hendaklah ia memperbanyakkan niatnya dengan tujuan baik seperti mengikut sunah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kita menghormati tetamu, setentunya kita tidak akan lupa memberikannya hidangan atau jamuan walaupun secara ala kadar sahaja. Itulah peribahasa yang kita lakukan sebagai penghormatan. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha, Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Amalan memberikan jamuan ini jua da adab-adabnya antaranya ialah menyegerakan untuk menikmati hidangan jika jemputan telah ramai dan tetamu yang belum hadir hanya sedikit sedangkan waktu yang telah ditetapkan telah berlalu.
Makanan yang dihidangkan pula hendaklah sekadar mencukupi, jangan sampai membazir, kerana perbuatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai ria', dan jangan pula sampai tidak mencukup kerana ia merupakan perbuatan kurang sopan, hidangan yang dihidang janganlah diangkat atau dikemas melainkan setelah semua jemputan selesai makan.
Ahli jemaah yang diberkati Allah,
Bagi orang yang hadir menerima undangan adalah dilarang memilih tempat duduk seperti duduk ditempat yang ditetapkan oleh tuan rumah untuk orang yang tertentu, tetapi hendaklah merendah diri dan duduk di tempat yang disediakan dengan memberi salam serta bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya, kerana dengan itu kemesraan boleh terjalin. Jangan duduk terlalu lama sedangkan majlis telah selesai, dan jangan pula bersegera hendak pulang sehingga tuan rumah tergesa-gesa untuk menghidangkan jamuan.
Apabila telah dijamu untuk makan, hendaklah mendahulukan orang yang lebih utama serta orang-orang tua. Dan apabila mengambil makanan hendaklah mengikut giliran dan janganlah mengambil terlalu lama sehingga orang lain tertunggu-tunggu. Dan apabila makan hendaklah bersederhana tidak berlebihan sehingga tidak mencukupi untuk orang lain, amalkanlah sifat berampit-ampitan, disamping itu janganlah menyebut atau melakukan sesuatu yang boleh menjijikan orang lain sehingga menyebabkan orang lain tidak ada selera untuk makan.
Sebagaimana kebiasaan orang kita Brunei terutama di majlis perkahwinan, bertahlil dan membaca doa arwah, apabila selesai sahaja majlis, jika hidangan berlebihan tuan rumah akan mengizinkan dan menyuruh tetamu mereka membawa balik lebihan itu. Amalan tersebut adalah amalan yang sangat mulia dan baik, di mana tuan rumah akan mendapat pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala di atas sedekah tersebut apatah lagi perbuatan itu boleh mengalakkan daripada berlakunya pembaziran, tetapi apa yang perlu diingat wahai kaum muslimin ialah memastikan makanan itu benar-benar lebih dan semua orang telah makan dan tuan rumah telah memberi izin kepada kita untuk membawa balik makanan yang lebih itu.
Ahli jemaah sekalian,
Ketahuilah bahawa adab-adab atau cara yang diajarkan dalam Islam mempunyai kelebihannya dan kebaikan jika dihayati dan diamalkan. Disitulah menunjukkan Islam itu agama yang lengkap meliputi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah kita sama-sama saling ingat mengingati, nasihat menasihati dan mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Mudah-mudahan cara baik yang kita praktikan dan amalkan itu akan menjadikan majlis yang diadakan diberkati Allah Subhanahu Wata'ala, dan hubungan silaturrahim menjadi lebih erat dan kuat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Baqarah ayat 172 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan