Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
PADA hari ini marilah kita mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, dengan penuh iman dan khusuk tawaduk kerana mengurniakan kepada kita nikmat dan kelebihan pada menjadikan Hari Raya AidilFitri sebagai amalan ibadah orang Islam. AidilFitri sebenarnya bukanlah satu hari perayaan biasa dalam makna bersuka gembira secara uruf duniawi dengan makan minum, atau ada pula perayaan yang lebih dari itu dengan mengadakan majlis-majlis sambutan yang di luar batas hukum syarak dikaitkan dengan Hari Raya AidilFitri. Hari ini AidilFitri ialah hari perayaan bersifat agama kalau kita mengikut aturan syarak maka orang yang meraikan hari raya ini mendapat pahala kerana ia dikaitkan dengan puasa Ramadhan. Kalau tidak ada puasa Ramadhan maka tiada ada AidilFitri. AidilFitri ertinya hari raya yang dirayakan kerana kejayaan menunaikan perintah Allah puasa Ramadhan. Jadi orang yang tidak berpuasa tidaklah ada erti dia meraikan AidilFitri. Hendaklah kita umat Islam ingat bahawa setiap gerak langkah dan amal perbuatan kita itu berpunca daripada suruhan atau larangan Allah. Firman Allah dalam surah An-Naam ayat 162-163 tafsirnya:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, pencipta dan pentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan dengan itu aku diperintahkan, dan aku adalah orang mula-mula menyerah diri kepada Allah dikalangan umatku".
Apabila kita umat Islam sepenuh jiwa raga mengingati dengan iman dan ihsan bahawa semua kerja dan perbuatan kita itu semata-mata kerana Allah maka hasilnya kita akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah seperti firman-Nya dalam surah At-Taubah ayat 120-121 tafsirnya:
"Yang demikian kerana sesungguhnya tiap-tiap kali mereka merasai dahaga, dan merasa penat lelah, dan juga merasa lapar dalam perjuangan pada jalan Allah, dan tiap-tiap kali mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir, dan juga tiap-tiap kali mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka pahala amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas sesuatu lembah melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".
Wahai umat Islam alangkah sangat pemurahnya Allah itu! Setiap perbuatan baik dalam suka dan duka, lapar dahaga, penderitaan, sedekah dan sebagainya dibalas dengan pahal, tetapi sebahagian daripada kita seolah-olah tidak ingin kepada pahala. Mereka hanya menyukat pahala dengan balasan dunia yang berupa kesenangan dunia dan wang ringgit serta pangkat dan kedudukan.
Sebab itulah kita melihat sebahagian umat Islam melebihkan amal hidup yang merupakan keperluan duniawi sementara ini dan kurang menghargai ganjaran yang diberi oleh Allah. Mungkin kerana pahala itu tidak kelihatan bukan seperti wang ringgit.
Allah Subhanahu Wata?ala berfirman dalam surah Al-Aqla ayat 14-17 tafsirnya:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal yang soleh. Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhanmu, serta mengerjakan sembahyang dengan khusuk. Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian, bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal".
Wahai umat Islam, meraikan hari ini tidaklah tercapai dengan hanya menghidangkan juadah, minuman yang mewah sampai tahap membazir, bukanlah dengan mengadakan pesta-pesta dan sambutan sehingga tinggal waktu sembahyang atau tinggal waktu bekerja dipejabat-pejabat. Dalam masyarakat kita perkara-perkara seumpama ini telah menjadi suatu budaya, tetapi budaya seperti ini sebenarnya adalah penyakit yang semakin menular mendatangkan kesan yang tidak sihat kepada sistem kehidupan kita terutamanya membazir makanan dan minuman serta membanyakkan perbelanjaan yang sebenarnya tidak perlukan. Dan kedua, membuang masa bekerja sedangkan waktu bekerja itu wajib disempurnakan mengikut peraturan dan sebaliknya perayaan hari raya ini hanyalah suatu kesukaan bukan juga sunat yang disuruh orang agama kita.
Allah Ta'ala telah menjadikan umat Islam yang sederhana, kerana itulah sifat kehidupan yang sangat dituntut oleh Allah. Sememangnya kalau kehidupan di dunia ini dilebihkan daripada yang sepatutnya maka ia akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada diri seseorang, demikian juga sebaliknya kalau keperluan hidup tidak sempurna maka akibat yang timbul juga tidak mendatangkan faedah.
Sebenarnya apa-apa sahaja dalam hidup kita ini manusia perlu bersikap sederhana buka berlebihan, berlebih-lebihan itu mendatangkan sifat tamak dan dengki khianat, sedangkan terlalu sempit dan menyempitkan cara hidup, akibatnya sebagaimana yang pernah disebut oleh Saidin Ali Karamallah Wajhah ertinya: Kemiskinan atau kepapaan hampir kepada kufur.
Allah Subhanahu Wata'ala memberi panduan kepada kita dengan firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 143 tafsirnya:
"Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan sebagai umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia tentang yang benar dan yang salah dan Rasul Allah pula akan menjadikan saksi keatas perbuatan kamu".
Ayat Al-Qur'an itu secara tidak langsung memerintahkan supaya umat Islam dapat menjadi contoh tauladan yang baik dan sempurna kepada dunia supaya umat Islam menjadi pusat pehatian orang lain dalam menjalani kehidupan di dunia ini dengan demikian orang lain akan tertarik mengikut Islam, masuk agama Islam dan mengamalkan faedah-faedah Islam. Tetapi kita lihat sekarang betapa orang Islam menjadi lemah, hanya menjadi pengikut kepada orang lain dengan kata lain bagaimana orang lain akan tertarik kepada agama Islam sedangkan para pengikut agama Islam sama sahaja tidak lebih baik daripada orang lain itu umat Islam tentu tidak dapat menjadi contoh tauladan kalau cara hidup mereka tidak berbeza dengan orang lain itu.
Perkara itu kita lihat dalam cara kehidupan golongan muda yang lebih banyak mengamalkan budaya bukan Islam, budaya asing yang hanya mementingkan kesukaan dan kegembiraan termasuklah hari raya. Malah hari perayaan lain seperti awal tahun masihi, hari krismas telah disambut dengan lebih meriah dengan acara-acara yang sangat menarik hati sama seperti perayaa agama sendiri. Di mana dia jati diri golongan muda yang mengaku beragama Islam ini? Mereka di masa hadapan akan menjadi tonggak pembangunan umat Islam bakal mengganti keturunan yang ada pada masa ini. Tetapi dapatkah umat Islam mempertahankan nilai agama dan kemurnian Islam jikalau sekirannya golongan pelapis yang muda pada masa ini sudah sedari awal tidak boleh diharap sangat? Iman yang lemah, jiwa yang lemah, akhlak yang runtuh tidak tahan ugut hanya mencari sesuatu yang mudah dan tidak sanggup berusaha untuk mendapat hasil sebaliknya hanya sanggup menadah tangan meminta-minta dan menerima. Mereka ini terlibat pula dalam gerakan anti sosial seperti menjadi penagih dadah, melakukan perbuatan sumbang dan lain-lain.
Oleh sebab itu kita semua terutama pihak ibubapa dan para pemimpin belia hendaklah bangun menyedari mereka yang masih lali yang terperangkap dalam godaan kehidupan yang merugikan umat ini. Kita tidak lagi boleh enggan atau lalai walaupun sekejap sahaja atau "malas tah ku ingau". Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadith maksudnya:
"Daripada Thauban ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Hampir semua umat (bukan Islam) akan berkumpul melawan kamu sebagaimana penyakit kuli berkumpul di tempat tumbuhannya, para sahabat bertanya: Adakah pada masa itu kita sedikit ya Rasulullah? Sabda baginda: Tidak, malah kamu pada masa ini ramai. Tetapi kamu telah menjadi seperti buih air bah. Allah telah memasukan kedalam hati kamu "Al-Wahnun" (lemah) itu? Mereka bertanya: Wahai Rasulullah apakah makna "Al-Wahnun" (lemah) itu? Rasulullah menjawab: Ianya perasaan sayang kepada dunia dan takut mati".
Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, kita lihat di mana-mana umat Islam seolah-olah dengan mudah diolah-olahkan oleh orang lain dan umat Islam hanya sanggup membantah, mengadakan protes tetapi orang tidak merasa gentar, benarlah sabda Rasulullah, umat Islam menjadi buih kerana sebenarnya umat Islam telah dididik dengan perkara yang menyebabkan jiwa mereka lemah, mudah tunduk dan mengalah iaitu pertama: Godaan segala kemudahan dan kesenangan yang melalaikan, perkara ini telah menjadi larangan Allah kepada umat Islam.
Sebagaimana yang tesebut dalam surah Fatar ayat 5 tafsirnya:
"Wahai umat manusia sesungguhnya janji Allah membalas amal kamu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan kemurahan Allah lalu kamu lalai dan menderhaka".
Surah An-Najal ayat 112 tafsirnya:
"Dan berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar Allah telah memberikan satu contoh: sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan