Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Di bulan inilah turunnya kitab suci Al-Quran. Al-Quran diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekelian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 185 tafsirnya :
"Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah".
Kitab suci Al-Quran tidak serupa dengan kalam makhluk, bahkan seluruh makhluk tidak berupaya untuk mencipta atau meniru yang seumpamanya. Oleh itu kita wajib mengagungkannya. Kita juga hendaklah membacanya dengan sebenar-benar bacaan, dengan mengelokkan bacaan, dengan khusyuk apabila membaca, dengan mengawal dan menjaga huruf-hurufnya dan adalah lebih elok kita mengetahui makna ayat yang dibaca supaya kita dapat memahaminya dan seterusnya meninggalkan kesan kepada kita. Kita juga hendaklah membela serta mempertahankan kitab suci Al-Quran daripada sebarang penghinaan atau pemesongan oleh orang-orang yang melampau dan sesat.
Ketahuilah barangsiapa merendahkan Al-Quran atau mencacinya seperti mengingkari satu huruf daripadanya atau mendustakan satu hukum atau cerita atau menolak sesuatu yang telah sabit sebagai Al-Quran itu dengan sedar dan senghaja maka menurut ijmak ulama, perbuatan seumpama itu akan menjadikan seseorang itu kafir.
Itu baru mengingkari atau menambah satu huruf atau menolak satu hukum atau cerita daripada Al-Quran itu, betapa pula jika satu ayat, satu juzuk dan banyak hukum-hukum Al-Quran itu yang dibengkang dan diingkari dengan secara sedar. Contohnya orang memutarbelitkan hukum mengenai arak, mengenai riba, mengenai puasa dan sebagainya. Jika terdapat di dalam perbuatan atau di dalam niat (hati) kita mengkritik dan tidak bersetuju atau kurang bersetuju dengan hukum-hukum Allah ini, maka perkara tersebut boleh menjejaskan akidah.
Kerana itu wajiblah dijaga lidah dan perbuatan serta dipelihara hati dalam apa jua keadaan supaya jangan sekali-kali celupar dan mendewakan akal fikiran daripada Al-Quran. Hukum Al-Quran bukanlah digubal oleh mana-mana pakar tetapi langsung daripaha Maha Pencipta yang Maha Bijaksana.
Maka marilah kita berpegang teguh dengan Al-Quran, kita pelajari, kita baca dan kita ambil pengajaran daripadanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh umat Islam mengaji Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak kerana di dalam Al-Quran itu mengandungi hukum dan ajaran-ajaran mengenai akhlak, tauhid dan yang berkait dengan kehidupan, kisah-kisah yang menjadi iktibar atau pengajaran berupa perkhabaran ghaib yang boleh mendatangkan keinsafan dan mengasuh iman.
Ketahuilah para ibu bapa yang berusaha mengajar Al-Quran kepada anak mereka sendiri ataupun dengan mencari guru untuk mengajar anak-anak supaya pandai mengaji Al-Quran dan beramal dengannya, maka ibu bapa seperti itu akan diberikan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak. Hal ini telah disebutkan dalam sebuah hadis maksudnya :
"Daripada Sahl bin Muaz Al-Juhani daripada bapanya : Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa membaca Al-Quran dan dia beramal dengan isi kandungannya nescaya Allah pakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada hari kiamat yang cahayanya lebih elok dari cahaya matahari yang menyinari rumah-rumah di dunia". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)
Begitulah wahai kaum Muslimin, ganjaran bagi ibu bapa yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka pandai mengaji Al-Quran. Faedahnya tidaklah terhenti setakat di dunia sahaja malahan akan diterimanya pula di akhirat. Mereka akan memakai mahkota di akhirat demi kerana jasa dan susah payah mereka sehingga dapat menjadikan anak-anak mereka pembaca, penghafaz dan pengamal Al-Quran.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran itu mempunyai banyak kelebihan dan fadilatnya, antaranya surah Al-Baqarah sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis maksudnya :
"Daripada Abi Umamah Al-Bahili, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Bacalah oleh kamu surah Al-Baqarah kerana mempelajarinya suatu keberkatan dan meninggalkannya satu kerugian. Dan sahir sekali-kali tidak dapat menentangnya".
Sebagaimana yang kitani maklum, antara ayat yang masyhur yang terkandung di dalam surah Al-Baqarah ialah ayat Al-Kursi. Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan ayat Al-Kursi itu sebagai perisai bagi orang-orang yang beriman daripada kejahatan syaitan. Ini dibuktikan oleh banyak riwayat, antaranya dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawa beliau pernah memegang anak kunci rumah tempat menyimpan harta sedekah termasuklah juga sedekah buah tamar.
Pada suatu hari beliau pergi ke rumah itu dan mendapati buah tamar yang ada dalam simpanannya telah berkurangan. Pada hari berikutnya, beliau pergi ke sana lagi dan mendapati ada lagi tamar yang hilang. Lalu beliau pun menghadap Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan menceritakan perkara yang berlaku. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Adakah engkau mahu menangkap siapa pencurinya?' Abu Hurairah Radiallahu Anhu menjawab : 'Ya, aku mahu'. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Apabila engkau membuka pintu rumah itu maka engkau ucapkanlah : Subhana Min Saqqaraka Li Muhammad yang maksudnya : Maha suci Allah, siapa yang menundukkanmu kepada Nabi Muhammad'.
Abu Hurairah pun melaksanakan perintah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu. Apabila pintu dibuka, beliau pun membaca apa yang diajarkan oleh Baginda tadi. Dengan tiba-tiba sahaja beliau menemui pencuri tamar berdiri di hadapannya iaitu dari kalangan jin. Abu Hurairah berkata : 'Wahai musuh Allah, adakah engkau yang mencuri tamar ini?' Jin itu menjawab : 'Ya, tetapi saya tidak akan datang lagi mencurinya. Saya mengambilnya hanyalah untuk keluarga jin yang miskin sahaja'.
Abu Hurairah melepaskannya pergi tetapi pada waktu lain, jin itu masih datang juga mencuri tamar. Perkara itu diadukan lagi kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda bertanya : 'Adakah engkau ingin menangkapnya? 'Abu Hurairah menjawab : 'Ya', Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 'Baca kepadanya seperti apa yang pernah engkau baca'. Abu Hurairah pun melakukan seperti yang disuruh. Sebaik-baik pintu dibuka, beliau membaca : Subhana Min Saqqaraka Li Muhammad, tiba-tiba sahaja jin itu berdiri di hadapannya. Beliau berkata : 'Wahai musuh Allah, bukankah engkau telah berjanji tidak akan datang lagi?'.
Jin itu meminta supaya dia dibenarkan pergi dan berjanji tidak akan datang lagi. Tetapi sampai kali ketiga dia masih datang juga mencuri. Abu Hurairah berkata : 'Demi Allah! Aku tidak akan melepaskan kamu lagi sehingga aku membawamu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam'. Jin berkata : 'Jangan! Jika engkau melepaskan aku, aku akan mengajar atau memberitahumu satu kalimah yang apabila engkau baca, maka tidak ada mana-mana jin yang boleh menghampirimu sama ada jin kecil atau besar, jantan atau betina'. Abu Huraurah bertanya : 'Betul engkau akan lakukan ini?' Maka jin itu pun membacakan ayat Al-Kursi. Kemudiannya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengakui betul apa yang dikatakan oleh jin itu mengenai keutamaan ayat Al-Kursi.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Demikianlah di antara fadilat ayat Al-Kursi. Sebenarnya ada banyak lagi faedah dan fadilat bila kita membaca ayat Al-Kursi. Sememangnya ayat Al-Kursi dan ayat-ayat Al-Quran yang lain adalah mengandungi kekuatan dan kehebatan yang tidak ada tolak bandingnya. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kekuatan, kehebatan dan keberkatan, hendaklah ia dibaca dan diamalkan.
Kita jadikan membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya amalan bermusim sekali setahun, janganlah hanya di bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Quran tetapi di bulan-bulan yang lain kita lalai dengan kesibukan-kesibukan harian.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai Al-Quran, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia ini dan akan mendapat syafaat di akhirat nanti. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa' ayat 82 tafsirnya :
"Dan Kami turunkan daripada Al-Quran ayat-ayat yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan