ummusya

Isnin, 20 September 2010

KHUTBAH AIDILFITRI YANG KEDUA

Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
SEMPENA kita menyambut hari besar AidilFitri ini sudah tentu kita merasa bahagia dan merasa puas hati dengan persediaan yang telah disediakan awal. Tetapi hendaklah kita ingat, semuanya itu adalah nikmat kurnia Allah, bukannya sahaja ia datang melompok dihadapan kita. Kalau bukan kerana Allah maka tidak akan ada sesuatu yang kita inginkan. Oleh sebab itu hendaklah kita bersyukur, mengucap terima kasih kepada Allah di atas nikmat dan kurnia yang banyak itu. Nikmat Allah Ta?ala itu sangat banyak dari masa kita lahir ke dunia sampailah kepada masa kita berada dalam liang tanah. Oleh sebab terlalu suka menerima nikmat kurnia Allah itu sebahagian daripada kita lupa diri bersifat kedekut dan kikir umpamanya takut bersedekah, tidak mahu mengeluarkan hak zakat harta atau zakat fitrah, takut berkongsi kesenangan dengan orang lain. Ajaran Islam tidak begitu. Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Jal ayat 71 berfirman tafsirnya:

"Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakannya, dalam pada itu orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka (yang mendapat kelebihan harta itu) tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?".

Maka oleh sebab itu diperintahkan kepada umat Islam mencari jalan-jalan yang boleh mengurangkan sifat tamak haloba itu dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah, supaya dengan demikian keadaan masyarakat Islam menjadi seimbang, orang yang tidak berupaya diberi sebahagian daripada kelebihan orang-orang yang berada, maka bertautlah perasaan kasih sayang, perasaan harmoni dan hormat menghormati, dan timbulah kesatuan dan kekuatan umat, sebaliknya kalau orang yang mempunyai kelebihan itu dengan sebab tetap bersikap tidak pedulikan orang lain maka akan menimbulkan perbezaan di antara anggota masyarakat umat Islam tidak dapat bersatu padu kerana adanya perbezaan kelas ? seperti yang dalam sejarah negara barat daripada zaman pertengahan dahulu telah menyebabkan timbulnya revolusi di antara golongan kaya dan miskin, dan akhirnya terjadi pepecahan, timbul rasa benci membenci malah sampai kepada bunuh membunuh di antara satu sama lain. Rahmat Islam dalam isu zakat dan sedekah sangat menolong memperkuat hubungan saudara mara, sabda Nabi Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Daripada Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma: Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Orang muslim itu adalah bersaudara dengan orang muslim yang lain, ia tidaklah boleh menganianya, dan tidak boleh membayarkannya jatuh dalam kecelakaan. Barangsiapa yang menolong seorang menghilangkan kesusahan dari apa jua kesusahan dunia maka Allah akan menolong dia menghilangkan kesusahan dari apa-apa jua kesusahan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang melapangkan keatas seorang yang susah di dunia maka Allah akan melapangkan dia di dunia dan di akhirat. Dan barangsiapa yang menutupi (pakaian) seorang muslim di dunia maka Allah akan menutupi dia di dunia dan di akhirat. Allah sendiri akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya".

Kita janganlah takut akan mengeluarkan zakat atau bersedekah dengan anggapan harta akan berkurang, tidak! Allah menjamin orang yang berzakat dan bersedekah itu akan sentiasa dilebihkan harta mereka lagi oleh Allah dan malah ditambah pula dengan pahala yang berlipat ganda. Sebuah hadith riwayat Al-Imam At-Tabaranni menyatakan:

"Tidak akan kurang harta daripada sedekah dari harta yang ada dan tiada menghulurkan tangan seorang hamba dengan sedekah melainkan sedekah itu jatuh terlebih dahulu ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan orang yang meminta. Dan tiadalah seorang itu mula membuka pintu yang dia sendiri sepatutnya tidak behajat kepadanya melainkan dibuka oleh Allah kepada-Nya pintu kekayaan".

Manakala dalam hadith yang lain pula Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Daripada Abi Hurairah Radiallahu Anha, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Hamba itu berkata: Hartaku, hartaku, sedangkan harta yang ada padanya hanyalah tiga macam: Iaitu apa yang dimakannya akan habis, apa yang dipakainya menjadi buruk dan apa yang diberikan kepadanya menjadi miliknya. Adapun yang lain daripada itu semuanya pergi dan tinggal kepada orang lain" (Riwayat Al-Imam Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan