Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ramadhan adalah bulan Tarbiah yang dapat mendidik dan mendisiplinkan diri agar kita lebih berazam dan beristiqamah dengan amalan-amalan fardhu mahupun sunat di bulan-bulan yang lain. Didikan Ramadhan yang mendisiplinkan diri kita memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti.
Ramadhan yang dipenuhi dengan tuntutan fardhu mahupun sunat seperti solat fardhu berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, bermurah hati dengan sedekah dan amal jariah, istiqamah dalam membaca Al-Qur'an dengan menyertai majlis-majlis tadarus, rajin melakukan Qiamulail dan berbagai-bagai ibadah lain seperti bertakbir, bertasbih, berselawat dan memperbanyakkan doa, adalah untuk kita teruskan di bulan-bulan yang lain.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada kelazimanya apabila kita meraikan hari raya, antara amalan yang menjadi budaya dan tradisi masyarakat kita ialah amalan kunjung mengunjungi, ziarah menziarahi dan mengadakan rumah terbuka. Ziarah menziarahi dan memberi makan sememangnya dianjurkan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam. Jika? pada waktu atau bulan-bulan yang lain, kita kurang berkesempatan inilah kita dapat menjalin semula keakraban dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat hadai.
Sememangnya inilah masa yang paling sesuai untuk kita merapatkan hubungan silaturrahim, jika sebelum ini ada berlaku ketegangan, salah faham atau perselisihan yang membawa kepada bermasam muka dan tidak bertegur sapa, maka ambilah peluang di hari yang penuh berkat ini untuk kita mengeratkan semula hubungan yang renggang dan pudar tersebut dengan menghulurkan tangan bermaaf-maafan. Semoga semangat ukhuah di bulan Syawal mampu melenyekkan keegoan, perselisihan, perbalahan, mana yang kusut kembali dirongkaikan, buang yang keruh ambilah yang jernih.
Dalam meraikan hari raya, elakkanlah mencemarinya dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan mendatangkan dosa seperti bersalaman dengan bukan mahram dan memakai pakaian yang tidak sopan dan tidak bersesuaian serta bertentangan dengan hukum syarak.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam mengajar kita melakukan sesuatu secara besederhana, justeru itu dalam keghairahan sesetengah kita meraikan AidilFitri dengan mengadakan rumah terbuka, janganlah sampai berlaku pembaziran. Apa yang mendukacitakan terdapat sebilangan orang yang menyediakan hidangan secara berlebih-lebihan kononnya malu jika makanan yang dihidangkan itu hanya ala kadar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 26-27 tafsirnya:
"Dan beriikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".
Apa yang menyedihkan terdapat juga sebilangan orang sanggup berhutang semata-mata kerana ingin membuat rumah terbuka, kononnya malu dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai jika tidak membuat rumah terbuka. Mengadakan majlis rumah terbuka tidaklah salah, tetapi janganlah berbelanja diluar kemampuan sehingga membebankan diri sendiri, pepatah ada mengatakan ukurlah baju di badan sendiri.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kemeriahan kita berhari raya janganlah kita lupa melaksanakan amalan yang sangat dituntut iaitu berpuasa enam hari di bulan Syawal bermula pada hari kedua Syawal. Adalah lebih afdal berpuasa eman dikerjakan secara berturut-turut, walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal setelah berpuasa sebulan Ramadhan, pahalanya seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun. Ini dijelaskan di dalam hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:
"Dari Abi Ayub Al-Ansari Radiallahu Anha, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun" (Riwayat Al-Imam Muslim)
Maka berdasarkan hadith tadi, jelaslah betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita umat Islam. Maka seharusnya kita merebut peluang ini dan bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan tersebut. Alangkah ruginya jika kita tidak merebut peluang yang hanya datang setahun sekali, sedangkan kita mengetahui akan fadilatnya serta kelebihannya yang besar.
Selain daripada balasan pahala yang dijanjikan Allah Subhanahu Wataala kepada kita, hikmah puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini diharapkan dapat menampung mana-mana kececatan yang berlaku dalam puasa Ramadhan kita. Di samping itu juga, puasa sunat ini dapat terus mengekalkan kesihatan tubuh badan kita kerana kebiasaanya di musim ini kita makan berlebihan dari had yang sepatutnya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kedatangan Ramadhan hanya setahun sekali. Dengan berakhirnya Ramadhan, jangan pula kita menjadikan sebagai titik penghujung amal ibadah kita kerana amal ibadah tersebut bukan sahaja dapat dilakukan di bulan Ramadhan bahkan kita hendaklah mempraktikan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.
Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya AidilFitri dengan metaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam, dengan tidak mencemari sambutan AidilFitri dengan dosa dan maksiat atau perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan segala ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-A's ayat 1-3 tafsirnya:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan