Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian, cabaran dan rintangan yang memerlukan keimanan dan ketakwaan yang teguh dan tulen agar seseorang muslim itu sentiasa berada di landasan yang betul dan tidak terjerumus ke lembah maksiat. Oleh itu bertakwalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala adalah tangungjawab yang mesti dilaksanakan oleh orang-orang yang beriman dan janganlah menjadi seperti golongan munafik iaitu orang yang mengaku dirinya beriman padahal sebenarnya dia tidak beriman. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 8-9 tafsirnya:
"Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kiamat, padahal mereka sebenaranya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun orang mukmin itu terbahagi kepada dua golongan iaitu orang mukmin yang kuat, teguh dan tulen imannya dan orang mukmin yang lemah imannya.
Adapun orang mukmin yang kuat dan teguh imannya itu ialah orang mukmin yang bukan sahaja beriman kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan hati dan mengakui dengan lisan, bahkan melaksanakan segala perintah Allah serta menjauhi segalah larangan dan tegahan-Nya.
Manakala orang mukmin yang lemah imannya pula ialah orang mukmin yang sekadar percaya (beriman) kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan hatinya, mempercayai dan membenarkan adanya Allah, mengakui dengan lisan dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi cara hidup dan tingkah laku mereka bercanggah dengan akhlak dan syariat Islam.
Dalam hal ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda yang maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam: Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah" (Riwayat Al-Imam Muslim).
Muslimin yang diberkati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 2-4 tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu yang sempurna imannya ialah mereka yang apabila disebut nama Allah dan sifat-sifat-Nya gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benar. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi disisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia di syurga".
Berdasarkan ayat Al-Qur'an yang dibacakan tadi, dapatlah kita ambil kesimpulan bahawa di antara ciri-ciri atau sifat yang perlu ada bagi orang-orang mukmin sejati itu ialah:
Pertama: Sentiasa ingat Allah (Zikrullah): orang-orang yang beriman itu, apabila mereka mendengar nama Allah disebut, maka gembiralah hati mereka kerana diliputi oleh perasaan takut. Perasaan takut itulah yang dapat mencegah mereka daripada melakukan sesuatu perbuatan yang jahat (munkar) dan akan mendorong mereka untuk melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang yang hatinya sentiasa ingat kepada Allah tidak akan melupakan Allah di waktu senang mahupun di waktu susah, kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah memberi jaminan akan memberikan bimbingan dan perlindungan kepada mereka, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata?ala dalam surah Al-Baqarah ayat 251 tafsirnya:
"Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku dengan mematuhi hukum dan undang-undang Ku, supaya aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur akan nikmat-Ku".
Kedua: Bertambah kuat imannya apabila mendengar ayat-ayat Al-Qur'an dibacakan yang mengandungi hikmah dan falsafah yang tinggi, yang membawa berita-berita yang mengembirakan, pengajaran yang sebenar lagi berkesan, serta menjanjikan ganjaran dan sebagainya.
Ketiga: Tawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala: Tawakal ialah menyerahkan diri secara mutlak kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebagai langkah terakhir setelah segala usaha dan ikhtiar yang dijalankan di dalam menghadapi sesuatu perkara atau keadaan. Sifat tersebut hendaklah dijadikan sebagai prinsip di dalam kehidupan seharian kerana ianya menanamkan semangat keteguhan hati, ketenangan dan sebagainya.
Keempat: Mendirikan sembahyang: Sembahayang merupakan benteng dan perisai yang amat kuat dan kukuh bagi seseorang? mukmin yang boleh mencegah daripada melakukan perbuatan yang keji dan munkar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Ankaabut ayat 54 tafsirnya:
"Bacakanlah serta ikutilah wahai Muhammad akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur'an dan dirikanlah sembahyang dengan tekun, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya dan kesannya, dan ingatlah Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".
Kelima: Membelanjakan sebahagian daripada rezekinya (hartanya) ke jalan Allah Subhanahu Wata'ala. Adapun keadaan manusia itu apabila dipandang dari sudut senang dan susah, ia boleh dibahagikan kepada tiga golongan, ada golongan yang mudah mendapat rezeki, ada golongan yang mendapat rezeki sekadar cukup keperluan sahaja dan ada golongan yang tidak mencukupi keperluan hidupnya.
Bagi mereka yang hidup senang dan mendapat rezeki yang banyak, janganlah pula hendak membazir, akan tetapi hendaklah membelanjakan sebahagian daripada harta kekayaan itu untuk amal kebajikan, menolong orang yang susah, orang yang kurang bernasib baik dan hendaklah memastikan segala kekayaan itu dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.
Manakala bagi mereka yang mendapat rezeki sekadar cukup keperluannya, hendaklah berhati-hati dalam urusan kewangan dan bijak dalam berbelanja dengan mengikut keperluan tanpa berlebih-lebihan.
Bagi mereka yang mendapat rezeki yang kurang pula hendaklah bersikap sabar, jangan berputus asa, malah berusaha dan terus berusaha bagi mendapatkan rezeki dan seterusnya mencapai kebahagiaan hidup yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah kita mengetahui ciri-ciri mukmin sejati, maka hendaklah kita muhasabah diri kita dan berazam serta berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang sejati. Sebagai seorang Islam, kita mestilah mempunyai iman yang kuat. Kita juga hendaklah kuat dalam berusaha dan beramal serta sentiasa bersatu padu untuk menegakkan agama Islam. Oleh yang demikian, sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang benar-benar beriman dengan keimanan yang teguh dan tulen. Amin Ya Rabbal Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hujuraat ayat 51 tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka terus bercaya dengan tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar pengakuan imannya".