Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang mendapat rahmat Allah Subahanahu di dunia dan di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.
Agama Islam adalah agama yang mencintai keamanan dan kesejahteraan umatnya, kerana itulah agama Islam amat mengambil berat tentang hubungan baik di antara sesama manusia khususnya di dalam mengeratkan hubungan silaturrahim baik sesama kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga mahupun masyarakat di sekeliling kita.
Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisa ayat 36 tafsirnya:
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-bangga diri".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam usaha mengeratkan lagi ikatan persaudaraan itu, agama Islam telah menunjukkan jalan atau amalan yang perlu dilakukan bagi mencapai hasrat tersebut, antaranya menjemput saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga ke majlis kenduri yang diadakan. Amalan inilah yang menjadi tradisi di negara kita iaitu menjemput atau mengundang saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga untuk menghadiri majlis yang diadakan samada secara formal ataupun tidak seperti majlis perkahwinan, majlis rumah terbuka sempena hari raya, majlis membaca doa selamat, bertahlil dan doa arwah, majlis akikah dan sebagainya.
Maka bagi orang yang menerima jemputan atau undangan, perlulah mengetahui bahawa agama Islam ada memberi panduan dan adab-adab yang perlu diikuti oleh mereka, antara adab-adab itu ialah:
Pertama: Tidak membezakan undangan, baik undangan itu datangnya dari orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam.
Kedua: Tidak menolak sesuatu undangan kerana alasan jauh.
Ketiga: Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya jika ia hanya berpuasa sunat. Ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah, tetapi jika ia berpuasa wajib seperti qadak, maka tidaklah ia boleh berbuka.
Keempat: Menolak undangan jika diketahui makanan yang dihidangkan itu dari barang syubahat dan haram, ataupun dalam majlis hiburan yang diharamkan oleh syarak.
Kelima: Janganlah menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak perut, bahkan hendaklah ia datang ke majlis itu dengan niat dan tujuan yang baik seperti memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai tetamu dalam majlis yang kita hadiri, kita juga hendaklah mengetahui adab ketika menikmati jamuan, antaranya:
Pertama: Mendahulukan orang tua atau orang yang lebih utama daripada kita.
Kedua: Jika mengambil makanan secara mengikut giliran, dan apabila sudah sampai giliran kita untuk mengambilnya, maka ketika itu janganlah kita melambat-lambatkan sehingga orang lain lama menunggu.
Ketiga: Jangan bercakap atau melakukan sesuatu perkara yang boleh menjijikkan orang lain.
Keempat: Janganlah mengambil makanan secara berlebihan, biarlah berampit-ampitan, dan janganlah makan terlalu banyak jika tidak mendapat keredhaan tetamu yang makan bersama-sama dalam satu hidangan.
Kelima: Janganlah memperbesarkan suapan dan makan dengan cepat supaya dengan berbuat demikian dia boleh memperolehi makanan yang banyak dan sehingga dengan caranya itu dia menghalang hadirin yang lainnya daripada memperolehi atau menikmati makanan tersebut. Lebih-lebih lagi jika makanan itu sedikit.
Keenam: Wajib bersikap adil terhadap tetamu lain umpamanya jangan makan dua biji tamar atau dua biji anggur sekaligus, melainkan tetamu yang bersama mengizinkannya. Perkara ini disebutkan oleh Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma:
"Jangan kamu makan secara Qiran (dua biji kurma sekali suap ke mulut) kerana Nabi Sallahu Alaihi Wassalam melarang Qiran. Kemudia dia (Abdullah) berkata: Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersama)" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Setelah selesai menikmati jamuan di dalam sesuatu majlis, pada kebiasaannya , jika masih ada hidangan berlebihan maka tuan rumah akan mengizinkan dan menyuruh tetamu mereka membawa balik lebihan itu. Amalan tersebut adalah amalan yang sangat mulia, di mana tuan rumah akan mendapat pahala dari Allah Subahanahu Wata'ala, apatah lagi perbuatan tersebut boleh mengelakkan pembaziran, tetapi apa yang perlu diingat hendaklah memastikan semua orang telah makan dan tuan rumah telah memberi izin kepada kita untuk membawa balik makanan tersebut.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya adab-adab yang diajarkan oleh Islam mempunyai kelebihan dan kebaikan jika kita hayati dan amalkan. Oleh itu marilah kita sama-sama ingat mengingati, nasihat menasihati, dan mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Mudah-mudahan cara baik yang kita praktikkan dan amalkan itu menjadi majlis yang diadakan diberkati Allah Subahanahu Wata'ala dan hubungan silaturrahim akan menjadi erat dan harmoni. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Baqarah ayat 172 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik yang halal telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepada-Nya"
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan