ummusya

Isnin, 18 Oktober 2010

"Bersatu Padu Kearah Mencapai Wawasan Brunei 2035".

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menhadi insane yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana menjadikan kita sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang aman, damai dan tenteram, jauh dari kacau bilau dan sebagainya. Semua ini adalah berkat dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala usaha kita lakukan dalam memajukan dan menstabilkan keamanan negara ini, lebih-lebih lagi jentera pengeraknya adalah kerajaan atau lebih dikenali sebagai perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam adalah institusi penting yang berperanan sebagai jentera pengerak bukan sahaja bagi program-program pembangunan bahkan juga segala dasar dan peraturan kerajaan bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Oleh sebab itu, semua warga perkhidmatan awam yang diberi mandat untuk memegang satu-satu jawatan dalam kerajaan, mestilah memikulnya dengan penuh rasa tanggungjawab kerana merupakan amanah yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah An-Anfal ayat 27 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya"

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Antara amanah yang mesti dijaga oleh warga perkhidmatan awam ialah mengamalkan rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam di man bertujuan untuk mengawal tingkah laku perkhidmatan awam yang telah digariskan oleh pihak kerajaan untuk diamalkan dalam pekerjaan sehari-hari. Rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam adalah bertujuan untuk mengawal tingkah laku pegawai dan kakitangan awam supaya mereka dapat mengunakan pengetahuan kepakaran dan kemahiran yang ada untuk kebaikan semua pihak. Di samping itu, rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam juga mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pengurusan dan merupakan ansur penting untuk mempastikan matlamat organisasi itu tercapai. Akhlak dan etika yang baik setentunya dapat menghasilkan budaya kerja cemerlang dan pengurusan yang berkualiti di mana ianya merupakan satu keperluan yang harus ada dalam perkhidmatan awam.

Kerana ini, sebagai warga perkhidmatan awam, tidak kira semada ketua atau orang bawahan mestilah sama-sama memikul tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh kerajaan dengan telus dan tulus.

Disamping menitik beratkan tentang etika kerja, warga perkhidmatan awam juga mestilah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan imej perkhidmatan awam seperti pilih kasih, rasuah dan sebagainya. Ini selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menginginkan warga perkhidmatan awam bersih dari gejala yang tidak sihat ini, sepertimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut tahun baru 2010:

"Jika negara memenuhi etika perkhidmatan yang telus tanpa pilih kasih dan rasuah, maka insyaallah apa jua yang dirancang dan diusahakan akan berjalan dengan lancar dan berkat. Itulah integriti yang perlu ada pada perkhidmatan awam. Tanpa integriti ini, sesebuah negara boleh runtuh, atau paling tidak akan kehilangan daya membangunnya".

Dari titah tersebut dapat difahami betapa kewibawaan dikalangan lapisan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam untuk mengurus, mentadbir dan melaksanakan perkhidmatan yang ikhlas, cekap, berkesan, jujur dan tulus. Selain itu sebagai warga perkhidmatan awam, kita juga dituntut untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara jujur, adil dan saksama, bertanggungjawab, penuh dedikasi dan efisyen yang bebas sama sekali dari gejala-gejala yang merosakkan integriti perkhidmatan awam seperti pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, mementingkan diri sendiri dan terutama sekali gejala rasuah. Menurut statistik dari jabatan perkhidmatan awam bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang telah dikenakan tindakan tata tertib yang melibatkan kes-kes rasuah dari tahum 2007 hingga tahun 2009 adalah seramai 23 orang.

Perbuatan sedemikian hendaklah dilakukan oleh mana-mana warga perkhidmatan awam kerana perbuatan sedemikian sudah pasti menjejaskan imej kerajaan di mana pihak awam dan orang ramai, dan seterusnya orang rama juga akan mempersoalkan kredibiliti kerajaan. Selain itu perbuatan rasuah juga adalah perbuatan yang dilaknat oleh Allah Subhanahu Wata?ala yang wajib kita jauhi.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai warga perkhidmatan awam, kita hendaklah memiliki sifat jujur dan amanah. Contohilah sikap Umar bin Abdul Aziz di mana pada suatu ketika, beliau sedang berada di pejabat untuk kerja urusan kerajaan. Keadaan diruangan pejabat sangat gelap sehingga terpaksa memasang lampu pelita. Seseorang datang dan masuk kepejabatnya setelah diizinkan. Tiba-tiba Umar memadamkan api pelita itu, maka beliau bercakap dengan tetamunya dalam keadaan gelap, membuat orang lain kehairanan. "Mengapa Amir Mukminin? melayani tetamu dalam keadaan gelap?"? tanya salah seorang pegawainya. Beliau menjawab "Yang datang tadi itu adalah keluarga ku. Dia datang kepadaku kerana ada urusan peribadi, sedangkan lampu pelita adalah milik negara. Oleh sebab itu, ketika aku berbicara masalah peribadi, aku padamkan lampu tersebut kerana aku tidak mahu menggunakan harta negara".

Lihatlah betapa amanahnya Umar bin Abdul Aziz dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri atau kaum keluarga dan sahabat malah apa yang beliau ada disedekahkan kepada baitulmal.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam usaha kerajaan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir sebagaimana hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, warga perkhidmatan awam adalah nadi jentera penggerak yang mendokong hasrat tersebut dengan mengamalkan dan menghayati ciri-ciri zikir sewaktu melaksanakan tugas, antaranya ialah:

Pertama: Memiliki sifat takwa yang merangkumi di dalamnya sifat iklas. Seorang warga perkhidmatan awam wajib membersihkan niatnya iaitu ikhlas terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala amal pekerjaan yang dilakukan, samada berupa perintah, larangan, nasihat, perhatian atau hukuman adalah semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Sepertimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Naam ayat 162 tafsirnya:

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, pencipta dan pentadbir sekalian alam".

Kedua: Berakhlak mulia lagi terpuji seperti berbudi bahasa, bekerjasama, pemedulian dan bermuafakat. Sifat ini amat mustahak dan perlu ada di dalam diri warga perkhidmatan awam, lebih-lebih lagi mereka yang berurusan dengan orang ramai seperti perkhidmatan kaunter, operator dan sebagainya.

Ketiga: Cekap dalam menjalankan tugas. Sikap seumpama ini boleh meningkatkan hasil kerja dan produktiviti.

Keempat: Komitmen terhadap kerja. Ini termasuklah disiplin, tekun dan didikasi dan menghargai masa.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana kita maklum pada setiap dua puluh sembilan September adalah hari perkhidmatan awam. Pada tahun ini, hari perkhidmatan awam akan diraikan pada sebelas Oktober dengan tema "Bersatu Padu Kearah Mencapai Wawasan Brunei 2035". Bercakap mengenai misi atau wawasan, setiap negara di dunia ini mempunyai misi atau matlamat tersendiri khususnya dalam usaha membangunkan negara masing-masing, tidak terkecuali negara kita, di mana pada masa ini negara sedang giat melaksanakan wawasan negara yang dikenali sebagai wawasan Brunei 2035, yang berhasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam menjelang 2035, dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya diukur melalui peyawaian tertinggi antara bangsa iaitu kualiti kehidupan yang tinggi dikalangan sepuluh negara teratas dunia dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan di antara sepuluh negara teratas dari segi pendidikan per kapita.

Oleh itu, sudah sewajarnya kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini mendokong hasrat negara ini demi untuk kesejahteraan kita semua, bukan sahaja untuk hari ini, malahan juga untuk masa-masa akan datang, iaitu dengan mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga warga perkhidmatan awam akan terus mendapat petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala khususnya dalam mentadbir negara ini dan semua rakyat mendapat berkat dan keredhaan dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Fatihah ayat 6-7 tafsirnya:

"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang sesat".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan