Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menhadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sekarang kita sudah berada dalam suasana musim haji dan beberapa minggu lagi kita akan meraikan Haru Raya Haji yang juga dikenali Hari Raya Korban kerana umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban pada hari tersebut dengan menyembelih binatang ternakan iaitu unta, lembu, kerbau dan kambing sebagai tanda syiar agama Islam.
Menyembelih korban adalah amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan hukumnya sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut oleh Islam. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis maksudnya :
"Dari Aisyah Radiallahu Anha bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada dibuat oleh anak Adam akan sesuatu amal pada Hari Raya Adha yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengembil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Sesungguhnya amalan menyembelih korban itu sebagai bukti keikhlasan dan ketakwaan kita ke atas perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Haj ayat 37 tafsirnya :
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai manusia sememangnya tidak luput dari melakukan kesilapan dan dosa yang kadang-kadang menyebabkan kita jauh dari Allah Subhanahu Wata'ala tetapi dengan rahmat dan sifat kasih dan sayang Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya, memberikan banyak jalan yang boleh mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu jalan tersebut ialah dengan melakukan ibadat korban.
Ketahuilah, melakukan ibadat korban itu mempunyai banyak hikmat, di antaranya ialah :
Pertama : Mengambil iktibar dan pengajaran tentang erti ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Hal ini telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail Alahimassalam yang sanggup berkorban dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
Kedua : Memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat. Ini jelas melalui pengagihan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya khususnya kepada para fakir miskin.
Ketiga : Melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata'ala terhadap nikmat hidup rezeki yang telah dikurniakan-Nya.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Haj ayat 34 tafsirnya :
"Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka".
Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat murni ke dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Adapun waktu menyembelih binatang korban ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Adha iaitu setelah selesai sembahyang sunat Hari Raya Adha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari akhir hari Tasyrik iaitu hari ke-13 Zulhijjah. Jika ibadat korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut, maka tidaklah dikira ibadat korban, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Al-Barahi bin Hazib dia berkata : Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (Hari Raya Adha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian maka dia memperolehi sunat (ibadat) kami dan siapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang dibahagi-bahagikan kepada keluarga, bukanlah yang demikian itu termasuk dalam ibadat korban". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Memandangkan ibadat korban itu mempunyai kelebihan dan masa yang tertentu, maka bagi mereka yang berkemampuan dan dilimpahi rezeki oleh Allah Subhanahu Wata'ala janganlah melepaskan peluang untuk melakukan ibadat korban kerana ibadat ini sangat dituntut dan tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis maksudnya :
"Dari Zaid bin Arqam Radiallahu Anhu dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya : Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah : Ia adalah sunat bapa kamu, Ibrahim. Mereka bertanya : Apa yang kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya". (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)
Akhirnya, marilah sama-sama kita mengingati semula kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail Alaihimassalam untuk meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan marilah kita beramai-ramai melakukan ibadat korban ini bagi yang berkemampuan. Kita berdoa semoga ibadat korban yang kita lakukan akan mendapat ganjaran pahala dan kebajikan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al Kautsar ayat 1-3 tafsirnya :
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan