ummusya

Isnin, 18 Oktober 2010

GURU GEMILANG PELAJAR CEMERLANG

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam? melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak terlepas? dari sokongan, dokongan, sumbangan dan pengorbanan berbagai pihak samada daripada ibubapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut bukan mudah untuk dibalas.

Kita akui bahawa guru memainkan peranan penting dalam membimbing dan mendidik kita kearah kesempurnaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Oleh itu sudah sewajarnya tarikh 23 September pada setiap tahun di negara ini, kita meraikan para guru dengan majlis hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan mulia yang diibaratkan khazanah alam yang memiliki ilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk mendidik, mentarbiah dan menyampaikan ilmu tersebut kepada masyarakat. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

"Dari Anas bin Malik ia berkata: Telah bersabda Nabi Sallahu Alaihi Wasalam: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan samada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan". (Riwayat Al-Imam Ahmad)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hari guru pada tahun ini disambut dengan tema "Guru Gemilang Pelajar Cemerlang". Guru dan pelajar merupakan dua ansur yang berkaitan dan saling mendokong antara satu sama lain untuk mencapai kegemilangan dan kecemerlangan pendidikan. Bagi melahirkan pelajar cemerlang, sudah setentunya kita memerlukan guru yang gemilang dalam mendidik, mengajar dan membimbing anak bangsa demi mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesempurnaan insan sebagai aset negara.

Siapakan dia guru gemilang? Guru gemilang ialah guru yang mempunyai kecemerlangan akademik dan berkeperibadian mulia. Dari segi akedemik, guru gemilang adalah seorang guru yang berpendidikan dan berpengetahuan tinggi, berkepakaran dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, mempunyai wawasan yang luas. Guru gemilang juga hendaklah bersifat sabar, berlapang dada, tidak mudah berputus asa, ikhlas, berkhemah tinggi, berwibawa dan memiliki pegangan akidah yang kukuh.

Manakala siapa dia yang dimaksudkan pelajar cemerlang? Mereka adalah pelajar yang dapar mencapai kecemerlangan akademik, ko-kurikulum, dan juga memiliki akhlak yang terpuji seperti mentaati dan menghormati guru, menjaga maruah guru serta menjaga kesopanan dan tata susila sebagai seorang pelajar.

Kearah merialasasikan hari guru ini, skim perkhidmatan guru yang telah diperkenankan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukan sahaja akan dapat memertabatkan profesion perguruan di negara ini malah juga akan dapat melahirkan guru pakar dan pemimpin sekolah yang berwibawa dan berkualiti tinggi. Oleh itu bagi mencapai hasrat tersebut, di samping program-program jangka panjang di dalam dan di luar negara, program-program perkembangan profesional yang berjangka pendek juga perlu diungkayahkan secara berterusan seperti program kepimpinan sekolah dan program perkembangan guru-guru dalam pelbagai mata pelajaran.

Sesungguhnya sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam juga adalah seorang guru, dan dalam masa yang sama Baginda Sallahu Alaihi Wasalam juga sentiasa menerima wahyu yang berupa didikan dan pengajaran dari Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu sebagai seorang guru atau pendidik hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan mas dan zaman. Budaya menuntut ilmu seharusnya dihayati bukan sahaja oleh setiap guru malahan juga oleh setiap individu dan lapisan masyarakat. Jadikanlah budaya ini sebagai budaya menuntut ilmu sepanjang hayat.

Kita berharap tema hari guru pada tahun ini, insyaAllah akan dapat memberi dorongan dan motivasi kepada guru-guru untuk mencapai tahap guru gemilang dalam pendidikan. Kecemerlangan kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar merupakan satu perkembangan yang saling melengkapi untuk satu sama lain.

Muslimin yang berbahagia,
Perlu diingat, tanggungjawab mendidik dan membimbing anak-anak bukan sahaja terletak kepada guru-guru, tetapi ibubapa dan masyarakat juga hendaklah seiring dan bersama-sama menjadikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Ibubapa perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibubapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok, suka membuang masa, melepak, sukakan hiburan yang melampau, penyalah gunaan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Kita semua sedia maklum bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembentukkan syakhsiah yang berjaya.

Ingatlah pesan Saidina Ali Karamaallah Wajha yang maksudnya: Bukan kecantikan itu menhiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Menjalin hubungan baik antara ibubapa dengan pihak sekolah juga amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Antara cara untuk menjalin hubungan tersebut ialah melalui persatuan ibubapa dan guru-guru. Persatuan tersebut memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak. Dengan persatuan itu juga ibubapa dan masyarakat dapat menjalin hubungan yang erat dan berterusan denagan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara baik dan berhemah, apa yang mendukacitakan, apabila pihak sekolah menjemput para ibubapa untuk bermesyuarat atau mengadakan perjumpaan bagi membincangkan kebajikan dan pembelajaran anak-anak mereka, ramai dikalangan ibubapa yang mengambil ringan perkara tersebut dan tidak mahu hadir.

Para ibubapa sepatutnya bersungguh-sungguh dan sedia berkorban wang ringgit dan tenaga bagi mencapai kecemerlangan anak-anak. Ini bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Imam Syafiee bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan enam perkara iaitu kecerdikan, kesungguhan, kemajuan, perbelanjaan yang cukup, selalu mendampingi guru dan masa yang lama.

Ibubapa dan guru adalah orang yang amat berpengaruh dalam memberi pendidikan dan membentuk nilai murni dikalangan pelajar. Peranan ibubapa dan guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara, malah ia juga merupakan perlaburan yang menguntungkan dan berterusan kepada ibubapa dan guru, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha, sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah bersabda: Apabila telah mati seseorang itu, akan terputuslah segala amalannnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu memberi manfaat dengannya dan anak yang salih yang mendoakannya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sewajarnya mereka dirahmati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Oleh itu, marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mereka yang telah mendidik kita baik dari kalangan ibubapa mahupun guru-guru mendapat rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wata?ala sepanjang masa. Manakala bagi mereka yang telah kembali kerahmatullah sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman dan semoga mereka dimasukkan ke dalam syurga. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 269 tafsirnya:

"Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan