Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan,dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala telah menyediakan dan menetapkan rezeki kepada sekelian makhluknya, namun kadar rezeki yang diberikan Allah itu adalah berbeza-beza, ada yang dilimpahi dengan rezeki yang banyak, ada yang sederhana dan ada pula yang kurang sehingga tidak mencukupi untuk untuk menampung keperluan yang dikehendaki. Walau bagaimanapun semua itu adalah kehendak dan ketentuan Allah Subhanahu Wataala yang sudah setentunya mempunyai hikmah yang tersirat, yang hanya diketahui oleh Allah Subhanahu Wataala jua. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah As-Syura ayat 27:
Tafsirnya:
"Dalam hubungan ini, barangsiapa yang telah dikurniakan Allah rezeki yang banyak, mereka hendaklah sentiasa bersyukur dan memanfaatkan rezeki tersebut dengan sebaik-baiknya. Manakala barangsiapa yang ditakdirkan Allah dengan rezeki yang sedikit, janganlah menyalahkan takdir Allah semata-mata dan mereka juga hendaklah sentiasa bersyukur dan tetap terus berusaha mencari rezeki serta tidak berputus-asa."
Ahli jemaah sekalian,
Sebagai umat islam kita hendaklah sentiasa berusaha mencari rezeki bagi memenuhi tuntutan dan keperluan kehidupan samada untuk diri sendiri mahupun orang yang dibawah tanggungan kita. Kita menyedari bahawa kos sara hidup pada masa ini adalah tinggi dan memerlukan perbelanjaan yang banyak, seperti keperluan tempat tinggal, makan minum, pakaian, pengangkutan, sekolah dan sebagainya. Perkara ini sudah tentu sedikit sebanyak menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih-lebih lagi bagi golongan fakir dan miskin merasa sukar untuk memenuhi kesemua keperluan diri sendiri, keluarga dan orang yang dibawah tanggungan mereka. Dalam hal sedemikian mereka hendaklah tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal, tidak berputus-asa dan sentiasa bersabar, sentiasa bersyukur dengan apa yang diterima dan seterusnya mengamalkan kesederhanaan dan berjimat-cermat. Sebenarnya itulah diantara tindakkan orang yang bijak. Ini kerana walaupun seseorang itu mempunyai wang yang banyak namun jika dia tidak bersyukur, suka berbelanja dengan boros dan tidak berjimat-cermat, maka berapa banyak pun wang yang dimiliki, dia tidak akan pernah merasa cukup, malahan terdapat pula sebilangan mereka yang sanggup meminta-minta bantuan kewangan ataupun berhutang keliling pinggang semata-mata memenuhi keinginan hawa nafsu.
Kita ambilah iktibar dari kisah dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam. Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam, baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, baginda pun bersabda:
Wahai Hakim, sesungguhnya harta dunia ini memang indah dan manis, barangsiapa yang mengambil harta dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barangsiapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak akan ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya. Tangan yang diatas yakni yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang dibawah yakni yang menerima pemberian.
Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasullulah Salallahu Alaihi Wassalam berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, beliau semenjak dari saat itu tidak lagi pernah meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan. Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi.
Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang? yang meminta-minta wang kerumah-rumah keluarga, jiran atau rakan-rakan, ataupun kerumah orang yang tidak dikenali, ada juga diantara mereka meminta-minta kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan, dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan silu meminta-minta wang daripada orang ramai ditempat-tempat awam seperti dikompleks membeli-belah, restoran atau seumpamanya dengan alasan bahawa hasil pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi bagi menampung keperluan hidup.
Ketahuilah bahawa agama islam melarang umatnya dari perbuatan meminta-minta. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam:
Maksudnya:
"Dari Amran bin Husin berkata: Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersabda: sesungguhnya Allah menyayangi hambanya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai". (Riwayat Imam Ibni Majah)
Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan redha keatas rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala. Allah telah melarang kita dari bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan meminta-minta. Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam ada bersabda akan akibat orang yang meminta-minta sebagaimana hadisnya riwayat Imam Al-Bukhari dari Abdullah bin Umar Radhi Allahu Anhuma berkata bahawa telah bersabda Rasullulah Salallahu? Alaihi Wassalam:
Maksudnya:
"Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nantinya ia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya".
Ahli jemaah sekelian,
Walaupun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus. Adapun yang dimaksudkan dengan keadaan terpaksa atau darurat ialah seperti orang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang kalau tidak makan dengan segera, mungkin dia jatuh sakit atau mati. Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal-hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada oranglain, selama mana si peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya. Akan tetapi jika dia berupaya untuk bekerja tetapi dia malas atau tidak mahu berusaha, maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada oranglain.
Ingatlah pesan Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik dari perbuatan meminta-minta. Sebagaimana hadisnya yang diriwayatkan dari Al-Zubir bin Al-Awwam Radi Allahuanha, dari Nabi Salallahu Alaihi Wassalam, baginda bersabda:
Maksudnya:
"Sekiranya salah seorang dari kamu membawa tali lalu pergi kebukit untuk mencari kayu, kemudian ia pikul kayu tersebut kepasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak". (Riwayat Al-Imam Bukhari)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita sebagai umat islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Sesungguhnya perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskan itu hanya menjatuhkan maruahnya dan menjejaskan imej dirinya. Malahan perbuatan meminta-minta hanya akan mencerminkan sikap yang negatif dalam masyarakat iaitu sentiasa bergantung kepada ihsan dan bantuan orang ramai atau pihak tertentu. Sebagai umat Islam, kita hendaklah rajin berusaha dan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan redha dengan apa jua kurnia dan pemberian Allah Subhanahu Wata'ala. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala memurahkan dan memperbanyakkan rezeki keatas kita semua. Amin Yarrabal Alamin.
Tafsirnya:
"Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya diantara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan