Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menhadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Hari jumaat merupakan hari yang sangat istimewa bagi umat Islam, hari yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan, pada hari jumaat inilah kaum muslimin tidak kira bangsa, pangkat ataupun rupa berkumpul untuk mengerjakan sembahyang jumaat. Sembahyang jumaat bukan sahaja berbentuk ibadah seseorang mukmin kepada Tuhanya, bahkan juga merupakan suatu perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya sembahyang jumaat mempunyai berbagai keistimewaan yang menyebabkannya wajib untuk dilaksanakan secara berjemaah oleh setiap umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.
Memandangkan betapa pentingnya kewajipan sembahyang fardhu jumaat, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam amat mengambil berat terhadapnya sehingga baginda telah memberikan amaran keras kepada mereka yang mengabaikan dan mencuaikan sembahyang fardhu jumaat, sebagai mana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:
"Dari Abi Ja'at Dhamri katanya: Telah bersabda Nabi Sallahu Alaihi Wasalam: Barangsiapa secara mudah meninggalkan sembahyang jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah Subhanahu Wata'ala akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran" (Riwayat Al-Imam Ibni Majah)
Bagi mencapai matlamat agar sembahyang fardhu jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah mengariskan beberapa panduan yang sebaik-baiknya dilakukan oleh setiap umat Islam, antaranya kita disunatkan datang awal ke masjid dan mendapatkan saf yang pertama atau saf yang paling hadapan dan mengisi masa di dalam masjid dengan beriktikaf, membaca Al-Qur'an, berzikir, mengerjakan sembahyang sunat dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Khutbah pada hari jumaat adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat, peringatan serta mesej-mesej akhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Khutbah adalah salah satu daripada lima syarat sah sembahyang jumaat. Sungguhpun betapa besarnya peranannya khutbah jumaat itu, terdapat sebilangan orang yang tidak begitu mengindahkan khutbah sehingga ada di antara mereka yang masih bercakap-cakap, mengunakan telefon bimbit, membaca surat khabar, dan tidak kurang juga ada yang masih melepak di luar masjid sambil merokok ketika khutbah jumaat disampaikan. Manakala terdapat pula sebilangan jemaah sibuk melakukan ibadah lain seperti membaca Al-Qur'an, berzikir dan sebagainya.
Adalah disunatkan kepada jemaah untuk diam dan mendengar khutbah dan makruh bagi mereka berkata-kata, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:
"Dari Abu Hurairah Radiallahu Anha, sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari jumaat: "Dengarkanlah (khutbah)", pada hal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia". (Riwayat Al-Imam Bukhari)
Adapun maksud sia-sia itu ialah bertentangan dengan sunah dan adab serta mengakibatkan tidak sempurna sembahyang jumaatnya walaupun sembahyangnya masih dikira sah. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan keatas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat darurat, seperti ingin menyelamat orang buta hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkah wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk mengunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelak daripada berkata-kata.
Sidang jemaah yang berbahagia,
Berdasarkan penjelasan tadi, para jemaah adalah dikehendaki memberi tumpuan sepenuh hati serta seluruh anggota tubuh badan terhadap khutbah yang disampaikan. Sedangkan perbuatan ibadat seperti membaca al-quran, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang dapat mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual atau bermain-main telefon bimbit. Bahkan sekecil-kecil perbuatan yang boleh menganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan suatu perbuatan yang sia-sia yang akan mengakibatkan kerugian pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang jumaat.
Rasulullah Sallahu Allahi? Wasalam menjelaskan dalam sebuah hadis maksudnya:
Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anha katanya: Nabi Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Siapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhu, kemudian dia pergi kemasjid menunaikan sembahyang jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap ketika khutbah disampaikan, maka diampunkan dosa-dosanya yang diantara jumaat itu dan hari jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah, maka dia telah berbuat sia-sia. (Riwayat Al-Imam Muslim)
Oleh itu, sewajarnyalah para jemaah itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan kerana selain daripada mengambil manfaat dan iktibar daripadanya, khutbah juga sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang jumaat seseorang. Sesungguhnya pengabaian terhadap khutbah adalah menyerupai dengan pengabaian terhadap bacaan al-quran kerana salah satu dari rukun khutbah adalah membaca al-quran. Justru itu, apabila ayat al-quran atau khutbah dibacakan, maka hendaklah kita diam dan menumpukan perhatian terhadapnya.
Perlu diingat, bagi mereka yang membawa anak-anak kemasjid, hendaklah sentiasa menasihati dan mengingatkan anak-anak untuk menjaga tingkah-laku dan adab ketika berada didalam masjid, lebih-lebih lagi ketika menunaikan sembahyang dan ketika khutbah disampaikan. Pastikan anak-anak duduk disisi orang yang membawanya, bukannya dibiarkan anak-anak duduk berjauhan dibelakang. Ini akan mengakibatkan anak-anak tersebut akan bermain-main dan membuat bising. Janganlah kita beranggapan bahawa kanak-kanak yang belum baligh dan belum berkhatan yang berada didalam saf orang lelaki dewasa itu merosakkan saf atau menghilangkan fadhilat sembahyang berjemaah. Menurut qaul yang muktamad, jika kanak-kanak lelaki mendahului orang-orang yang baligh disaf yang pertama, tiada boleh bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka dari saf yang pertama itu.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bagi mendapatkan kesempurnaan sembahyang fardhu jumaat, para jemaah hendaklah berada dimasjid ketika khutbah dibacakan dan menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah tersebut. Elakkanlah dari lewat hadir kemasjid yang menyebabkan langsung tidak mendengar khutbah.
Sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan sembahyang fardhu jumaat dan semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan rahmat, taufik dan hidayahnya kepada kita semua. Amin Ya Rabal Alamin.
Tafsirnya:
"Dan apabila al-quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya supaya kamu beroleh rahmat".
Guna steroid baru badan jadi ??
16 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan