ummusya

Jumaat, 8 April 2011

HUTAN UNTUK MANUSIA

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Kita panjatkan puji dan syukur kehadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana dikurniakan berbagai nikmat yang berupa kesiahatan, kesejahteraan, keamanan, kelapangan dan kesenangan yang kita semua nikmati sejak sekian lama. Pada masa yang sama kita juga dikurniakan berbagai nikmat berupa sumber alam yang menjadi pelengkap kepada kehidupan kita di dunia ini.

Adapun salah satu nikmat sumber alam yang merupakan keperluan asasi dan menjadi pelengkap kepada kehidupan kita ialah sumber semulajadi hutan yang tumbuh subur menghijau. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak dahulu lagi kehidupan kita sentiasa mengharapkan hutan sebagai sumber makanan dan minuman, bahan binaan, perubatan tradisional dan sebagainya. Sehingga kehari ini sesetengah masyarakat pendalaman masih bergantung? kehidupan mereka kepada hasil-hasil hutan sebagai sumber pendapatan seharian mereka.

Di samping menjadi sumber kehidupan dan pendapatan, kewujudan hutan juga dapat menghalang kejadian hakisan tanah dan tanah susur, dapat mnghalang kejadian banjir yang berlebihan, berfungsi dalam mengimbang suhu udara setempat mahupun suhu udara sejagat. Hutan semulajadi yang tumbuh menghijau dapat menstabilkan keadaan alam persekitaran. Para saintis dunia bersepakat menyatakan bahawa fenomena kejadian alam seperti perubahan iklim sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh kemusnahan hutan dunia yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab secara tidak terkawal dan terarah. Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ar-Ruum ayat 41 tafsirnya:

"Telah timbul berbagai kerosakkan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat"

Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin, kita selaku manusia yang dikurniakan akal hendaklah memakmurkan dan memelihara bumi kurniaan Allah Subahanahu Wata'ala ini dengan selayaknya, bukannya dengan melakukan kerosakkan dan mencemarkan seperti meruntuhkan bukit dan menebang pokok dengan sewenang-wenangnya.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakkan di muka bumi ini dan memerintahkan kita supaya sentiasa menjaga alam sekitar dan memanfaatkannya tanpa melakukan sebarang kerosakkan. Larangan ini ada disebutkan dalam surah Al-'Araf ayat 56 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakkan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Menyedari akan prihal mustahaknya hutan semula jadi itu terhadap kehidupan kita seharian, maka pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Jabatan Perhutanan telah mengadakn sambutan memperingati Hari Hutan Sedunia pada 21 Mac 2011 yang lalu.

Sambutan Memperingati Hari Perhutanan Sedunia pada tahun ini bertepatan dan diselaraskan dengan anjuran badan induk dunia iaitu pertubuhan bangsa-bangsa bersatu yang mengishtiharkan tahun 2011 ini sebagai tahun antarabangsa hutan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran akan kepentingan kepelbagaian biodiversiti kepada habitat dunia dan akan berterusan memberikan inspirasi kepada inisiatif dan strategi pemuliharaan antarabangsa. Adapun tema sambutan tahun ini ialah "Hutan Untuk Manusia". Ini jelas mencerminkan sokongan kita kepada masyarakat dunia dan saling berganding bahu dalam usaha melindungi dan memelihara hutan antarabangsa melalui program yang memberikan penekanan akan akan peranan masyarakat tempatan untuk melindungi dan memelihara kawasan hutan negara dengan mempromosikan pendekatan hijau dalam semua sektor pembangunan di negara ini.

Tema ini juga dihasratkan bagi meningkatkan perkongsian di kalangan masyarakat tempatan khususnya kepada orang-orang kampung agar iktikaf menyertai dalam usaha-usaha pemuliharaan kebangsaan. Di samping meneruskan cara kehidupan tradisi mereka yang bergantung kepada hutan sebagai keperluan asas, mereka boleh memainkan peranan penting dengan melibatkan diri dalam kegiatan pemuliharaan seperti penanaman semula pokok hutan yang telah ditebang.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Selaku masyarakat yang peka dan perihatin terhadap isu-isu kestabilan alam semulajadi dan alam persekitaran, marilah kita bersatu padu dan bekerjasama untuk sama-sama menjaga dan memelihara sumber semula jadi hutan negara ini agar terus unggul dan tumbuh subur menghijau, dan berterusan menyumbangkan manfaatnya bukan sahaja kepada kehidupan kita hari ini bahkan kepada kehidupan generasi yang akan datang. Mudah-mudahan dengan inisiatif murni ini kita akan terhindar dari ditimpa bencana alam seperti banjir dan tanah susur serta peningkatan suhu panas bumi. Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita akan tetap dalam keadaan aman dan sejahtera serta terhindar dari bala bencana dan malapetaka. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-'Araf ayat 56 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakkan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikkan kepadanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan