ummusya

Jumaat, 8 April 2011

SEMPENA SEPULUH TAHUN MAHKAMAH-MAHKAMAH SYARIAH

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.

Institusi kehakiman Islam adalah suatu perkara yang sangat penting bagi sesebuah negara Islam. Sistem kehakiman Islam telahpun wujud semenjak zaman pemerintahan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam lagi, kemudianya telah dikembangkan di zaman-zaman selepas meliputi zaman para sahabat Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dan telah menjadi panduan perundangan pada zaman-zaman selepasnya sehinggalah kehari ini dengan melalui beberapa pembaharuan dan perkembangan berdasarkan kepada keperluan semasa.

Di dalam menjalani kehidupan bermasyarakat sudah setentunya kita memerlukan peraturan-peraturan dan undang-undang bagi menjamin keharmonian hidup di kalangan manusia. Peraturan dan undang-undang tersebut hendaklah dijalankan dengan adil berdasarkan hukum syarak dan peraturan undang-undang yang jelas.

Allah Subahanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 8 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kamu benci terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan"

Begitu jugalah dengan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai seorang pemimpin yang sentiasa mementingkan keadilan terhadap hak-hak rakyatnya yang beragama Islam yang dilaksanakan melalui bidangkuasa mahkamah syariah. Mengikut caratan sejarah, Negara Brunei Darussalam telah mempunyai sistem keadilan yang diberi nama "Hukum Kanun Brunei" iaitu undang-undang Islam yang dikanunkan, yang mula dikuatkuasakan pada pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akbar pada tahun 1598. Kehadiran Inggeris di Brunei pada tahun 1847 dan penempatan rasmi British Resident di Negara Brunei Darussalam pada 1906 adalah isyarat bermulanya penghakisan bidang kuasa mahkamah? Brunei yang mentadbir undang-undang berdasarkan "Hukum Kanun Brunei". Pada tahun 1908 diperkenalkan ?Undang-Undang Mahkamah 1908? sekaligus telah menyempitkan bidang kuasa mahkamah syariah iaitu hanya mentadbir dan melaksanakan undang-undang Islam yang berkaitan dengan perkara-perkara kahwin, cerai, ibadah (khusus) sahaja dan dalam bidang kuasa jenayahnya, diberi kuasa menjatuhkan hukuman yang dendanya tidak lebih daripada sepuluh ringgit dan penjara tidak lebih daripada 14 hari.

Kemudian pada tahun1955, hasil daripada inisiatip Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III, satu undang-undang digunakan yang dinamakan "Undang-Undang-Undang Agama dan Mahkamah-Mahkamah Qadi, 1955" berkuatkuasa pada 1 Januari 1956. ia memperuntukkan undang-undang berkenaan dengan majlis agama dan Undang-Undang Adat Istiadat Melayu, Mahkamah Qadi, perlembagaan dan penubuhan pihak-pihak berkuasa agama dan peraturan hal ehwal agama.

Pada 1 Muharram 1422 Hijrah bersamaan dengan 26 Mac 2001 Masihi, telah tercatat dalam sejarah mengenai penubuhan mahkamah-mahkamah syariah di bawah "Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184" Undang-undang Negara Brunei Darussalam atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Julai 1996, antara petikan titah baginda:

"Dengan rasa keimanan yang bulat terhadap peraturan dan undang-undang Allah, maka beta telah memperkenankan penubuhan mahkamah-mahkamah syariah sehingga ketahap yang setinggi-tingginya, bagi menangani bukan sahaja pentadbiran undang-undang keluarga, malahan juga di ketika yang sesuai dan munasabah akan juga mengandalikan kanun Jinaul Islam yakni Islamic Criminal Act selengkapnya, sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subahanahu Wata'ala"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Esok 26 Mac 2011 adalah hari ulangtahun penubuhan mahkamah-mahkamah syariah yang ke-10 tahun. Sepanjang melalui usia sepuluh tahun tersebut, mahkamah-mahkamah syariah telah pun menempuhi cabaran di samping mencapai berbagai perkembangan dan kemajuan yang merangkumi bidangkuasa, perundangan, prasarana, bangunan, sumber tenaga manusia, kemahiran dan seumpamanya. Semua ini dihadapi dengan penuh bertanggungjawab semata-mata untuk melaksanakan amanah dalam menjaga nama baik dan meningkatkan martabat mahkamah syariah dan agama Islam khasnya.

Dengan tertubuhya mahkamah-mahkamah syariah telah memberi kuasa ekslusif dengan pengishtiharan bahawa tiada mahkamah selain dari mahkamah-mahkamah yang boleh mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di bawah bidangkuasa mahkamah-mahkamah syariah.

Selain daripada itu juga mahkamah-mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa, kuasa-kuasa, kewajipan, autoriti di seluruh Negara Brunei Darussalam serta mempunyai bidangkuasa jenayah terhadap kesalahan yang dilakukan oleh warga negara atau penduduk tetap tetap Negara Brunei Darussalam di luar Negara Brunei Darussalam.

Bidangkuasa mahkamah-mahkamah syariah juga telah diperluaskan lagi di dalam beberapa peruntukkan undang-undang dan antara kuasa ekslusif mahkamah-mahkamah syariah ialah mempunyai bidangkuasa mendengar, membicarakan dan memutuskan pertikaian salah satu pihak beragama Islam dan satu pihak lagi tidak beragama Islam.

Berdasarkan kepada peruntukkan itu tadi jelas menyatakan mahkamah-mahkamah syariah boleh mendengar mana-mana tuntutan ataupun permohonan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut agama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak samada atau tidak dia menganut agama Islam. Tujuan kuasa ini adalah semata-mata untuk menegakkan keadilan dan hak antara kedua-dua pihak yang bertikai. Ini kerana agama Islam sangat mementingkan soal keadilan dalam semua perkara, sepertimana firman Allah Subahanahu Wata?ala dalam surah An-Nisa ayat 58 tafsirnya:

"Dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil"

Selain usaha Mahkamah Syariah menegakkan keadilan, pihak-pihak yang bertikai hendaklah juga memberikan kerjasama dan komitmen untuk melaksanakan segala keputusan yang telah diperintahkan oleh pihak mahkamah dengan sebaik-baiknya, kerana dengan cara itu akan dapat memberikan hak kepada orang yang lebih berhak mendapatkannya serta dapat menjamin kehidupan dan kemuslihatan mereka.

Di samping itu, orang awam juga adalah dinasihatkan supaya mentaati perintah mahkamah dan segala peruntukkan undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh pemerintah dan jangan sekali-kali melanggar ataupun membelakanginya samada secara senghaja ataupun sebaliknya. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa ayat 59 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul Allah dan kepada ulil amr (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu"

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam hal undang-undang ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah baru-baru ini semasa keberangkatan baginda kepersidangan majlis agama Islam di Dewan Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2011, di mana baginda selaku ketua agama di negara ini dalam melaksanakan undang-undang Islam semata-mata untuk mencari yang terbaik di dunia dan di akhirat. Serta mendapat keredhaan Allah Subahanahu Wata'ala.

Apa yang diharapkan bagi menjamin keadilan dan hak manusia dapat ditegakkan, ia memerlukan kepada kerjasama daripada semua aspek, samada daripada mahkamah sendiri dan orang awam berdasarkan amanah daripada Allah Subahanahu Wata'ala.

Surah An-Nisa ayat 58:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat".

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam hal yang lain, agama Islam amat mengalakkan kita supaya hidup saling tolong-menolong dan bantu membantu dalam hal kebaikkan dan kebajikan kerana ia merupakan suatu sifat yang terpuji dan digalakkan di dalam agama Islam.

Sebagaimana kita sama-sama maklum, telah berlaku beberapa kejadian bencana banjir, gempa bumi dan tsunami di beberapa buah negara, iaitu bencana banjir di Australia pada 30 Disember 2010, gempa bumi di New Zeland pada 22 Februari 2011 dan gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 11 Mac 2011.

Oleh itu, berdasarkan rasa kemanusiaan, kita hendaklah prihatin dengan apa yang dialami oleh mangsa-mangsa di negara tersebut dengan menghulurkan bantuan dan pertolongan kerana mereka sangat-sangat memerlukannya. Atas dasar simpati dan belas kesihan kita terhadap merekas, maka marilah kita menghulurkan bantuan walaupun kecil atau sedikit. Sesungguhnya sumbangan yang diberikan jika disertai dengan keikhlasan setentunya lebih bermakna dan besar ganjaran disisi Allah Subahanahu Wata'ala.

Maka dalam hubungan ini, Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan tabung kemanusiaanya mangsa bencana banjir di Australia dan gempa bumi di New Zeland, dan tabung kemanusiaan mangsa gempa bumi dan tsunami Jepun sebagai satu usalah di atas rasa simpati dan perikemanusiaan untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada mangsa-mangsa yang terlibat, sekurang-kurangnya bagi meringankan beban yang mereka alami. Tabung-tabung tersebut telahpun ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadah dan tempat-tempat lain di seluruh negara bagi memudahkan rakyat negara ini menghulurkan bantuan kepada mereka.

Dalam kesempatan ini marilah kita menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mereka yang pada masa ini sedang dalam kesusahan kerana ditimpa musibah. Semoga apa jua bantuan dan pertolongan yang kita berikan akan diterima oleh Allah Subahanahu Wata?ala dan kita berdoa agar negara kita selamat dan dihindarkan serta dijauhkan dari ditimpa apa jua musibah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 264 tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan menyakiti seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan