Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Agama Islam menganjurkan umatnya supaya apabila melakukan sesuatu itu hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subahanahu Wata'ala. Kerana amalan yang disertai dengan niat yang ikhlas itu adalah di antara perkara yang disukai oleh Allah Subahanahu Wata'ala dan rasul-Nya serta akan mendapat ganjaran pahala dan diterima amalannya. Dalam masa yang sama kita hendaklah menghidarkan diri dari bersifat riak.
Sifat riak adalah sifat yang menunjuk-nunjuk atau memperlihatkan sesuatu amalan yang baik yang dilakukan oleh seseorang untuk sentiasa ingin mencari penghargaan di hati manusia agar mendapat pujian, pangkat, kebesaran dan lain-lain. Riak juga merupakan suatu penyakit yang sangat merbahaya dan mengancam akidah dan iman serta merosakkan nilai keikhlasan hati, keluhuran akhlak dan sebagainya. Riak juga boleh membinasakan mertabat dan kemuliaan seseorang insan. Dan orang yang riak, hidupnya dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata, kerana ia hanya bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan dari orang lain.
Riak merupakan syirik kecil yang juga merupakan suatu perkara yang Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam takutkan jika amalan tersebut dilakukan oleh umat baginda, sebagaimana dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Mahmud bin Lubaid ia berkata: Bersabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasalam sesungguhnya sesuatu yang paling aku khuatirkan di antara kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat "Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah?" kemudian baginda menjawab "iaitu riak"." (Riwayat Al-Imam Ahmad)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya? Ahya'ulumiddin menerangkan bahawa perkara yang menimbulkan sifat riak itu ada lima perkara, iaitu riak dalam tubuh badan, pakaian, ucapan, perbuatan dan memperbanyakkan sahabat dan pengikut.
Adapun yang dimaksudkan dengan riak tubuh badan itu ialah seperti membiarkan rambut tanpa terurus, kononnya disebabkan terlampau banyak mementingkan diri dengan urusan-urusan ibadah dan agama sehingga tiada masa lagi untuk menguruskan rambutnya. Manakala riak dalam pakaian pula seperti orang yang berpura-pura memakai pakaian yang kasar dan menyingkatkannya hampir ke betis supaya orang laian menyangka bahawa dia adalah orang yang sangat patuh kepada sunah nabi atau menurut jejak langkah para salihin.
Begitu juga dalam ucapan, seseorang itu akan berpura-pura merendahkan suara ketika bercakap dengan orang ramai atau berlumba-lumba dalam memperkatakan tentang hadith samada sahih ataupun tidak dengan tujuan supaya dia dipuji orang sebagai orang yang pandai dan seumpamanya. Manakala riak dalam perbuatan pula ialah seperti seseorang berpura-pura berdiri terlalu lama dalam sembahyangnya, rokok dan sujud supaya dilihat orang dia lebih menghayati sembahyangnya itu daripada orang lain.
Seterusnya ialah riak dengan memperbanyakkan sahabat, tetamu dan bercampur gaul di kalangan orang alim atau orang yang berpangkat agar orang ramai menganggap dia juga orang penting atau seumpamanya.
Pada kebiasaannya di antara penyebab mengapa manusia bersifat riak ialah untuk mendapat kemegahan dan kemasyhuran sehingga lupa pada kebesaran Allah Subahanahu Wata'ala dan azab yang akan ditimpa kepada mereka akibat perbuatan riak itu samada di dunia mahupun di akhirat. Dalam sebuah hadith ada menyebutkan kecelaan akibat dari sifat riak di akhirat nanti.
"Dari Ibni Abas Radiallahu Anhuma katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Siapa yang dengan amalnya mencari kemasyhuran untuk diperlihatkan kepada manusia, Allah akan menyiarkan keinginannya di hari kiamat, dan siapa yang memperlihatkan amalannya, Allah akan memperlihatkan kecelaannya" (Riwayat Al-Imam Muslim)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Melihat betapa banyaknya keburukkan yang boleh didapati bagi mereka yang ada di dalam dirinya sifat riak, marilah kita sama-sama muhasabah diri dengan membetulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Subahanahu Wata'ala. Di samping itu juga kita hendaklah sentiasa memperbanyakkan istigfar dengan memohon keampunan Allah Subahanahu Wata'ala dan berdoa semoga kita serta keluarga kita akan terhindar daripada bersifat riak dan semoga pekerjaan yang kita lakukan akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah Subahanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Baqarah ayat 264 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan pahala, sedekah-sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti seperti rosaknya pahala orang yang membelanjakan hartanya kerana riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia..."
Guna steroid baru badan jadi ??
10 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan