Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi muslim yang beriman dan bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat, Amin Ya Rabbal Alamin.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. Apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada apa yang dibawanya sebagai bekal kecuali ibadat dan amal jariah semasa hayatnya di dunia serta dia dari anak-anak yang soleh.
Tidak dinafikan bahawa apabila berlakunya kematian orang yang disayangi, kita akan merasa sedih dan berdukacita, lebih-lebih lagi jika orang yang pergi itu merupakan ahli keluarga terdekat seperti ibu, suami, isteri, anak atau adik-beradik. Kesedihan yang tidak tertahan itu pula selalunya dizahirkan dengan tangisan dan linangan air mata. Perkara tersebut tidaklah dilarang tetapi jangan pula terlalu mengikut perasaan sehingga tangisan itu disertai dengan meratap atau menjerit-jerit ataupun menangis sambil menarik-narik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-goyak baju dan lain-lain kerana hukum berbuat sedemikian adalah haram. Perbuatan tersebut merupakan amalan yang biasa dilakukan pada zaman jahiliah. Selain itu kita juga dilarang menangisi orang yang telah meninggal dunia itu sambil meratap dan memanggil-manggil dengan ucapan: "Wahai kemuliaanku! Wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!" dan seumpamanya kerana perbuatan sedemikian hanya akan menyebabkan mayat tersebut terseksa. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda dalam sebuah hadith maksudnya:
"Dari Umar bin Uthman, bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Sesungguhnya mayat itu terseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga keatasnya".
Oleh itu jika kita menyayangi orang yang telah meninggal dunia, kita hadiahkanlah mereka dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur?an serta berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan terselamat dari azab kubur, dan bukannya meratap atau melakukan apa jua perbuatan yang boleh menyebabkan roh mereka terseksa.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Pada kebiasaannya di negara kita, setelah selesai majlis pengkebumian, maka ahli keluarga si mati akan mengadakan majlis tahlil atau kenduri arwah dengan menjemput orang-orang hadir ke majlis tersebut yang biasanya terdiri daripada ahli keluarga terdekat, sanak saudara dan jiran tetangga bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur'an seperti surah yaasin, bertahlil dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada orang yang telah kembali kerahmatullah.
Namun apa yang perlu diingat ialah apabila majlis telah dimulakan dengan bacaan Yaasin, bertahlil, berdoa dan sebagainya, sebaiknya semua ahli keluarga dan yang hadir turut serta membaca Yaasin, bertahlil dab berdoa. Dengan demikian semoga hajat ahli keluarga yang mengadakan majlis tersebut akan tercapai kerana tujuan majlis kenduri arwah itu diadakan adalah untuk memohon rahmat kepada Allah Subahanahu Wata'ala bagi orang yang telah meninggal dunia itu. Pada kebiasaannya selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir akan dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah.
Walau bagaimanapun, supaya tujuan majlis tersebut selaras dengan kehendak agama, janganlah pula kenduri arwah tersebut dianggap sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya. Begitu juga dengan hidangan jamuan itu jangan pula dianggap sebagai suatu perkara agama yang disyariatkan. Perlu difahami, bahawa tidak menjadi kesalahan atau dosa jika ahli keluarga si mati tidak mengadakan majlis tersebut kerana perkara tersebut bukanlah suatu paksaan atau kewajipan untuk mengadakannya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 286 tafsirnya:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya"
Walaubagaimanapun, sudah menjadi kelaziman di negara kita ini mengadakan majlis dan jamuan kenduri arwah. Amalan ini merupakan amalan yang mulia dan untuk diteruskan kerana ia bermanfaat bukan hanya untuk roh si mati, tetapi juga bermanfaat kepada orang yang masih hidup.
Disamping itu, tidak dinafikan ramai yang bersikap perihatin dan pemedulian terhadap saudara-saudara yang ditimpa kesusahan terutamanya bagi mereka yang menghadapi kematian ahli keluarga iaitu dengan menhulurkan bantuan berupa kewangan yang pada kebiasaannya diberikan ketika datang menziarahi keluarga si mati sebagai tanda simpati. Budaya seumpama ini adalah sangat baik dan wajar kita amalkan dan kekalkan lebih-lebih lagi perbuatan tersebut merupakan antara amalan yang sangat digalakkan oleh agama Islam serta dijanjikan balasan pahala yang besar dari Allah Subahanahu Wata'ala. Melalui pemberian atau sedekah itu juga sudah tentu sedikit sebanyak dapat meringgankan beban keluarga si mati lebih-lebih lagi jika ahli keluarga tersebut adalah dari kalangan orang yang susah dan berpendapatan kecil.
Ahli jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa orang yang telah meninggal dunia itu masih dapat menerima ganjaran pahala dan rahmat dari amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuk mereka. Oleh itu Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat supaya sentiasa membaca Al-Qur'an, doa dan zikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli keluarga dan sanak saudara yang telah meninggal dunia denga harapan semoga roh mereka akan dihindarkan dan diringankan daripada mendapat azab kubur serta mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan. Perlu diambil perhatian bahawa amalan bertahlil eloklah sentiasa diamalkan dan tidak terhad pada waktu yang tertentu sahaja seperti ketika mengadakan majlis kenduri arwah, kerana hakikatnya mereka yang telah meninggal dunia itu menunggu-nunggu pahala yang disedekahkan kepada mereka.
Begitu juga dengan amalan sedekah di mana jika pahala amalan tersebut diniatkan untuk orang yang telah meninggal dunia maka mereka akan mendapat daripada amalan tersebut, sebagaimana kisah dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Saad bin Ubadah saudara Bani Saidah, pada masa kematian ibunya, dia tidak berada disisinya, lalu beliau datang kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasalam dan bertanya adakah sesuatu boleh memberi manfaat kepada ibunya jika dia mensedekahkan sesuatu itu untuknya. Baginda bersabda: "Ya". Saad berkata: "Maka sesungguhnya aku bersaksi kepada engkau bahawa kebunku yang berbuah itu adalah sedekah untuk ibuku".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana kita ketahui bahawa tiada siapapun uang mengetahui bila ajalnya akan tiba. Oleh itu sebagai orang yang beriman kita hendaklah mempersiapkan diri dengan amal ibadah sebagai bekal untuk menghadap Allah Subahanahu Wata'ala kelak. Selain itu janganlah kita melupakan kaum keluarga serta saudara kita yang telah kembali kerahmatullah dengan menghadiahkan kepada mereka bacaan ayat-ayat Al-Qur'an, doa dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah Subahanahu Wata'ala menerima amalan yang kita lakukan itu dan dengan demikian roh mereka dicucuri rahmat sehingga kehari kiamat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Hasyir ayat 10 tafsirnya:
"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai tuhan kami sesungguhnya engkau maha penyentuan lagi maha penyayang".
Guna steroid baru badan jadi ??
10 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan